Covid-19: KKM sasar sehingga 200,000 ujian sehari

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti ujian Covid-19 di makmal seluruh negara sehingga 200,000 ujian sehari, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun 68 makmal yang ada ketika ini telah mencapai 100 peratus kapasiti dengan lebih 76,000 ujian sehari, tetapi terdapat makmal swasta, makmal di hospital universiti dan hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh membantu meningkatkan kapasiti ujian.

"Dengan unified command centre selain kita boleh gerakkan pesakit ke hospital tersebut adalah penting untuk makmal hospital-hospital ini membantu meningkatkan jumlah ujian kepada 150,000 hingga 200,000 dalam sehari agar lebih banyak sampel dapat kita uji," katanya dalam sesi libat urus media darurat Covid-19 bersama Ketua Pengarah Kesihatan siri 2/201 secara dalam talian di sini pada Jumaat.

Sesi kali kedua itu turut disertai oleh Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh Datuk Dr C Suresh Kumar, Ketua Unit Virologi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr T Ravindran, Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Dr Hani Mat Hussin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan Perubatan KKM Dr Mohamed Ahsan Mohamed Ismail.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini, kapasiti ujian di hospital universiti adalah 27 peratus, makmal swasta 31 peratus dan makmal di hospital ATM 24 peratus dan kemudahan ini boleh meningkatkan kapasiti mereka sehingga 100 peratus untuk membantu meningkatkan jumlah ujian harian.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan mengenai kelewatan melaporkan kes kumulatif di Selangor baru-baru ini, berpunca dari makmal swasta yang lewat menghantar notifikasi kes-kes positif kepada KKM.

"Apabila pihak swasta tidak menghantar notifikasi kepada KKM, pusat kesihatan daerah tidak mengetahui kes positif dan ia juga menyebabkan kelewatan pengesanan kontak," katanya.

Bagaimanapun katanya, perkara itu telah diatasi dengan pekeliling telah dikeluarkan kepada makmal dan hospital swasta untuk segera memasukkan kes ke dalam sistem.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan KKM tidak menggunakan kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) bagi melakukan saringan Covid-19.

"Tidak benar kita tidak gunakan, di Sabah misalnya sebelum ini kita hantar sehingga 200,000 kit RTK-Ag untuk digunakan di sana.

"Socso (Perkeso) juga gunakan sejuta RTK-Ag untuk menyaring pekerja asing, dalam menguji sampel harian juga kita gunakan," katanya.

Malah, beliau berkata, KKM kini dalam proses perolehan 1.36 juta lagi kit RTK-Ag untuk meneruskan usaha saringan Covid-19 di negara ini. - Bernama