Kesihatan Suu Kyi berada dalam keadaan baik

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi. - Agensi
Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi. - Agensi
A
A
A

YANGON - Keadaan kesihatan Penasihat Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi dilaporkan berada dalam keadaan baik selepas beliau dikenakan tahanan rumah sejak rampasan kuasa pada Isnin lalu.

Pengesahan itu dibuat Setiausaha Akhbar Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pada Jumaat selepas keadaan sebenar beliau menjadi tanda tanya berikutan penerima Hadiah Nobel Keamanan pada 1991 itu kali terakhir dilihat di khalayak umum sebelum ditahan tentera pada awal minggu lalu.

"Setahu saya, beliau kini diletakkan di bawah tahanan rumah," kata Kyi Toe menerusi Facebook.

Insiden rampasan kuasa tersebut telah mencetuskan siri demonstrasi yang meniru gerakan prodemokrasi di Thailand selain turut menjadi reben merah sebagai simbol protes.

Di Mandalay, pihak berkuasa menahan lebih 20 individu yang bertindak mengetuk kuali dan periuk.

Kesemua mereka dijatuhi hukuman penjara selama tujuh hari kerana melanggar undang-undang ketenteraman awam.

Selain itu, seramai empat penuntut universiti juga didakwa kerana mengadakan protes tanpa mendapatkan kebenaran dan melanggar peraturan Covid-19 selepas diberkas ketika menyertai perhimpunan kecil di bandar kedua terbesar di Myanmar itu.

Ketika diiring keluar daripada mahkamah, mereka turut menunjukkan simbol hormat tiga jari kepada petugas media. - AFP

Artikel Berkaitan: