Projek tebatan banjir: Jangan tunggu lagi

Kerajaan Pusat perlu mencontohi Kerajaan Thailand yang giat menyiapkan benteng banjir di sempadan negara mereka.
A
A

RANTAU PANJANG - Projek tebatan banjir di sepanjang tebing Sungai Golok sebelah Malaysia perlu dilaksanakan segera dalam usaha mengurangkan risiko kerugian setiap kali banjir berlaku.

Timbalan Ketua Amanah Kawasan Rantau Panjang, Mohd Ridzuan Mohamad berkata, perkara itu menjadi keperluan mendesak susulan Kerajaan Thailand giat menjalankan kerja-kerja pembinaan tebatan di sebelah negara berkenaan.

"Melihat kepada situasi gerak kerja Thailand ketika ini, saya berpandangan Kerajaan Persekutuan perlu mengambil serius isu pembinaan tebatan di Sungai Golok.

"Kita telah bawa isu ini ke pengetahuan Kerajaan Persekutuan. Perkara ini juga telah kita kemukakan dalam manifesto pada PRU14 lalu," katanya.

Mohd Ridzuan berkata, kerajaan perlu meletakkan perkara tersebut sebagai keutamaan untuk diberikan perhatian kerana ia melibatkan soal kepentingan rakyat Rantau Panjang.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, penduduk Rantau Panjang berdepan kegusaran apabila projek tebatan banjir Kerajaan Thailand yang sudah siap akan memberikan kesan buruk kepada mereka nanti.

Difahamkan, pembinaan tebatan banjir di negara itu menyebabkan pekan Rantau Panjang dijangka mengalami banjir lebih teruk daripada biasa dengan pertambahan 10 peratus atau satu meter paras air.