Siapa calon BN PRK Semenyih?

A
A

SHAH ALAM - Calon BN bagi PRK Semenyih dijangka diumumkan oleh pimpinan atasan parti itu pada minggu ini.

Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, nama enam calon yang disenarai pendek sudah diserahkan pihaknya kepada pimpinan atasan untuk penilaian terakhir baru-baru ini.

“Enam calon ini ada yang masih muda dan senior serta merupakan anak tempatan, pengundi dan tinggal di kawasan Semenyih.

“Kita harap pucuk pimpinan dapat memilih calon yang terbaik daripada senarai yang dicadangkan dan keputusannya dijangka akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada Selasa ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kesemua calon berkenaan sudah lama berkhidmat dengan parti dan sebahagian daripadanya memang sudah dikenali pengundi di kawasan Semenyih.

“Cuma mungkin pengundi di dua PDM (pusat daerah mengundi) Bandar Mahkota dan Pantai Permai kurang mengenali enam calon terbabit kerana dua PDM itu baru saja dimasukkan ke parlimen Hulu Langat pada PRU lalu,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam senarai nama dicadangkan terdiri daripada sayap Pemuda, Wanita dan Profesional.

Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan mengatakan Umno tidak mampu untuk menang pada mana-mana PRK dan hanya sekadar mampu menghakis undi majoriti, Johan berkata, kenyataan itu sangat tidak berasas.

“Buktinya, kita menang pada PRK Cameron Highlands baru-baru ini...maknanya sudah ada orang yang membuat ‘comeback’,” katanya.