Pertemuan Muhyiddin-Jokowi tingkatkan kepimpinan ASEAN

Muhyiddin menandatangani buku pelawat, sambil diperhatikan Joko Widodo, sempena lawatan rasmi dua hari perdana menteri itu ke Indonesia. -Foto Bernama
Muhyiddin menandatangani buku pelawat, sambil diperhatikan Joko Widodo, sempena lawatan rasmi dua hari perdana menteri itu ke Indonesia. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertemuan rasmi antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada Jumaat dilihat bukan sahaja untuk kepentingan hubungan antara kedua-dua negara, tetapi juga bagi meningkatkan kepimpinan di rantau ASEAN secara keseluruhan.

Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sufian Jusoh berkata, ASEAN ketika ini sedang berdepan pelbagai isu, antaranya krisis di Myanmar selepas penahanan pemimpin Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) oleh junta tentera negara itu Isnin lepas.

“... keadaan di Myanmar perlu ditangani segera. Kita perlukan kepimpinan di negara ASEAN untuk melihat bagaimana (situasi) Myanmar ini boleh ditangani,” katanya dalam program Malaysia Petang Ini bertajuk ‘Kerjasama KL-Jakarta’ terbitan Bernama TV pada Jumaat.

Muhyiddin tiba di Jakarta, Indonesia pada Khamis untuk lawatan rasmi dua hari ke republik itu dan lawatan berkenaan antara lain bagi menyediakan platform kepada kedua-dua pemimpin untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama kedua-dua negara.

Dalam pertemuan empat mata antara Muhyiddin dan Joko Widodo atau lebih popular dengan panggilan Jokowi itu, kedua-dua pemimpin menyentuh pelbagai perkara, antaranya Kuala Lumpur dan Jakarta memandang serius keadaan politik semasa di Myanmar yang merupakan satu langkah ke belakang dalam proses demokrasi di negara itu.

"Adalah dikhuatiri pergolakan politik di Myanmar boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan di rantau ini.

"Sehubungan itu, saya sangat bersetuju dengan cadangan supaya kedua-dua menteri luar diberi mandat untuk mencari kesepakatan supaya satu mesyuarat khas ASEAN diadakan bagi membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam," kata Perdana Menteri.

Kedua-dua pemimpin juga membincangkan isu berhubung pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL).

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai pelaksanaan RGL, Sufian berkata, penerbangan Kuala Lumpur-Jakarta adalah antara laluan tersibuk di dunia dan dengan membuka laluan itu sendiri akan memberikan impak kepada industri penerbangan.

“Kita belum lagi tengok berkenaan pelancongan; mungkin pelancongan akan dikemudiankan, tetapi juga berkaitan dengan pengeksport, kalau tidak ada penerbangan maknanya eksport juga akan terganggu antara kedua-dua negara,” katanya. - Bernama