Ada peniaga ingkar arahan

Anggota KPDNHEP Kluang sewaktu menjalankan pemeriksaan.
Anggota KPDNHEP Kluang sewaktu menjalankan pemeriksaan.
A
A
A

KLUANG – Peniaga kedai runcit di sekitar daerah ini dikesan melanggar Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baharu Cina apabila didapati menjual ayam standard pada harga jauh lebih mahal daripada harga yang ditetapkan.

Hasil tinjauan mendapati ada beberapa peniaga kedai runcit menjual ayam standard pada harga antara RM7.60 hingga RM7.90 sekilogram yang jelas melanggar harga maksimum yang ditetapkan iaitu RM7.50 sekilogram.

Susulan itu, anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kluang membuat pemeriksaan mengejut ke atas 12 premis di sekitar bandar Kluang serta kawasan perumahan di daerah ini.

Ketua Cawangannya, Mohd Zulazre Mokeri berkata, pemeriksaan dilakukan selepas menerima maklumat daripada orang ramai yang mendapati pemilik premis dengan sengaja meletakkan harga melebihi harga kawalan ditetapkan.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan SKHMP Tahun Baharu Cina yang bermula sejak 30 Januari lalu, kami telah buat pemeriksaan terhadap 147 premis perniagaan di seluruh daerah Kluang.

“Daripada jumlah itu, enam premis didapati melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemilik premis ingkar,” katanya.

Menurutnya, beliau juga mengucapkan terima kasih di atas kerjasama peniaga dalam mematuhi undang-undang dan juga maklumat yang diterima daripada orang ramai khususnya berkaitan isu-isu kepenggunaan dan penyelewengan.

Artikel Berkaitan: