Eksport barangan getah negara sumbang RM40.97 bilion

Sarung tangan Malaysia menguasai lebih 60 peratus pasaran dunia. - Gambar hiasan 123RF
Sarung tangan Malaysia menguasai lebih 60 peratus pasaran dunia. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

PRESTASI eksport barangan getah Malaysia sepanjang tahun lalu meningkat sebanyak 73.9 peratus dengan sumbangan sebanyak RM40.97 bilion kepada pendapatan negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, peningkatan didorong permintaan tinggi sektor perubatan dan kesihatan dari seluruh dunia, dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, perkembangan terkini menyaksikan produk itu menyumbang hampir 90 peratus kepada pendapatan eksport barangan getah negara, dengan sarung tangan Malaysia menguasai lebih 60 peratus pasaran dunia.

"Eksport ke Amerika Syarikat yang merupakan pasaran utama sarung tangan getah Malaysia juga telah meningkat hampir 84 peratus daripada RM6.47 bilion pada 2019 kepada RM11.89 bilion pada 2020.

"Pasaran utama lain bagi produk berkenaan turut mencatatkan peningkatan eksport memberangsangkan iaitu Jerman sebanyak 82 peratus, Jepun (84 peratus), United Kingdom (201 peratus) dan China (146 peratus).

"Permintaan yang tinggi terhadap sarung tangan getah menyebabkan lebih ramai pekerja diperlukan," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, berdasarkan anggaran Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), industri ini memerlukan sebanyak 34.7 peratus atau 25,000 lagi pekerja baharu.

Bagi menyokong usaha itu, menurutnya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) menyediakan dana subsidi upah sebanyak RM36 juta untuk menggalakkan industri hiliran getah negara mengambil pekerja tempatan dalam industri tersebut.

Artikel Berkaitan:

"KPPK terus komited untuk memudah cara dan memantau operasi sektor industri sarung tangan getah untuk kekal beroperasi dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.