Turunkan kuasa kepada sektor swasta keluarkan perintah HSO

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan untuk menurunkan kuasa kepada hospital swasta bagi membolehkan pengamal perubatan di sektor berkenaan mengeluarkan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) kepada pesakit Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia merupakan salah satu tindakan bersepadu antara sektor kesihatan awam dan swasta.

"Pada masa ini, doktor swasta tidak diberi kuasa bagi mengeluarkan HSO tetapi kita sedang melihat untuk turunkan kuasa dan apabila tamat kuarantin, mereka boleh mengeluarkan arahan pelepasan serta memotong gelang pesakit," katanya pada sesi libat urus bersama media pada Jumaat.

Selain itu katanya, KKM mempertimbangkan untuk melakukan kawalan harga terhadap ujian calitan yang diadakan di fasiliti kesihatan swasta dalam tempoh pelaksanaan darurat.

"Setakat ini tiada akta khusus yang membolehkan KKM mengawal harga namun pesakit berhak untuk dimaklumkan harga sebelum sesuatu prosedur dilakukan," kata beliau.

Menurutnya, KKM juga sedang melihat untuk menaikkan kadar kompaun Akta 345 yang ketika ini berada pada paras maksimum RM1,000.

"Kalau untuk kilang yang besar, jika ada ratusan pekerja dan didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), RM1,000 adalah tidak memadai, jadi kita mengkaji peningkatan jumlah kompaun mengikut kesesuaian," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kelewatan melaporkan kes kumulatif seperti berlaku di Selangor baru-baru ini, Dr Noor Hisham berkata, ia menyukarkan pihaknya melakukan pengesanan kontak.

Artikel Berkaitan:

"Apabila pihak swasta tidak menghantar notifikasi kepada KKM, pusat kesihatan daerah tidak mengetahui kes positif dan ia menyebabkan kelewatan pengesanan kontak," katanya.

Tambah beliau, bagaimanapun perkara itu diatasi dengan pekeliling yang telah dikeluarkan kepada makmal dan hospital swasta untuk segera memasukkan kes ke dalam sistem.

Libat urus bersama media kali kedua itu turut disertai oleh Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr C. Suresh Kumar; Ketua Unit Viralogi Institut Penyelidikan Perubatan (MIR) Dr T. Ravindran; Pengarah Makmal Kesihatan Awam, Dr Hani Mat Hussin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan Perubatan, Dr Mohamed Ahsan Mohamed Ismail.