X

Kindly register in order to view this article
!

Nelayan Myanmar melecur bot terbakar

Bot dinaiki empat nelayan terbakar di kedudukan 16.6 batu nautika barat daya Sungai Besar pada Jumaat.
A
A

SUNGAI BESAR - Seorang nelayan warga Myanmar melecur tahap kritikal apabila bot yang dinaikinya terbakar di kedudukan 16.6 batu nautika barat daya Sungai Besar, di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, tiga lagi individu termasuk seorang warga tempatan yang juga tekong bot berjaya diselamatkan dalam kejadian jam 10.20 pagi itu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima panggilan MERS999 berhubung kebakaran bot nelayan terbabit.

“Sejurus menerima maklumat, pesawat udara AW139 yang sedang melakukan pemantauan ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan.

“Hasil pemeriksaan, seorang daripada empat nelayan tersebut melecur tahap kritikal dan perenang penyelamat Maritim bertindak melakukan 'winching' bagi menyelamatkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohammad Rosli berkata, mangsa kemudian diterbangkan ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk rawatan lanjut pada jam 11 pagi.

“Maritim turut menyalurkan maklumat kepada agensi lain iaitu KD Gagah Samudera (TLDM), polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan komuniti maritim.

“Kesemua anggota diarahkan memakai kelengkapan perlindungan diri lengkap termasuk jaket keselamatan sebelum melakukan kerja-kerja pemadaman,” katanya.

Justeru katanya, komuniti maritim dinasihatkan menitikberatkan keselamatan bot, bekalan minyak dan makanan yang mencukupi serta memaklumkan ahli keluarga mengenai lokasi dan tempoh berada di laut.

“Sebarang kejadian kecemasan hendaklah dilaporkan kepada pihak berkuasa menerusi talian 999 agar bantuan SAR dapat diberi dengan cepat,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!