Botol, plastik makanan paling banyak dikutip di Bukit Seladang

Norhalim (kanan) bersama ahli Kelab Seladang Hikers Jerantut bergotong-royong membersihkan kawasan Bukit Seladang.
Norhalim (kanan) bersama ahli Kelab Seladang Hikers Jerantut bergotong-royong membersihkan kawasan Bukit Seladang.
A
A
A

JERANTUT - Botol minuman dan plastik pembungkus makanan didapati sampah paling banyak dibuang oleh pendaki di Bukit Seladang, di sini.

Ketua Kelab Seladang Hikers Jerantut, Norhalim Abu berkata, tindakan segelintir pengunjung itu amat dikesali kerana mencemarkan kawasan riadah terbabit.

"Ada sesetengah pihak yang datang berkelah di puncak bukit namun segala sisa makanan serta sampah dibiarkan begitu sahaja sedangkan mereka sepatutnya bawa turun semula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika bergotong-royong membersihkan sampah sekitar Bukit Seladang bersama 15 ahli kelabnya, semalam.

Katanya, Kelab Seladang Hikers Jerantut beberapa kali mengadakan gotong-royong di bukit itu supaya pemandangannya sentiasa indah dan bersih.

"Kami harap orang ramai yang datang untuk mendaki dapat membawa turun sampah dan membuang di tempat sepatutnya," katanya.

Norhalim berkata, gotong-royong itu dilakukan atas kesedaran ahli-ahli yang gusar dengan sikap sambil lewa pengunjung dalam menjaga kebersihan lokasi terbabit.

"Bukit Seladang merupakan tempat tumpuan peminat sukan mendaki dari daerah ini serta orang luar setiap kali hujung minggu dan cuti umum.

Artikel Berkaitan:

"Kami rasa kecewa apabila melihat sampah sarap bertaburan di sepanjang laluan dan puncak bukit ini sehingga mengundang suasana yang sakit mata memandang," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ahli Kelab Seladang Hikers Jerantut kini mencecah 30 orang dan mereka merupakan pendaki tetap Bukit Seladang.