KPN bawa rayuan masyarakat Cina ke MKN

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis mengumumkan bahawa perayaan Tahun Baharu Cina termasuk upacara sembahyang hanya dibenarkan disambut di rumah bersama ahli keluarga.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis mengumumkan bahawa perayaan Tahun Baharu Cina termasuk upacara sembahyang hanya dibenarkan disambut di rumah bersama ahli keluarga.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan membawa pandangan dan rayuan masyarakat Cina berhubung prosedur operasi standard (SOP) sambutan Tahun Baharu Cina berkaitan majlis makan besar keluarga dan kehadiran ke rumah ibadat tokong, untuk perhatian Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPN dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan SOP Tahun Baharu Cina itu disediakan setelah pihak kementerian berbincang dengan 21 badan pertubuhan agama, persatuan kebudayaan Cina dan pihak berkaitan pada 12 dan 18 Januari lepas.

Antara persatuan yang terlibat semasa perbincangan pada 12 Januari lepas ialah Malaysian Buddhist Association, Persatuan Agama Taoisme Malaysia, Malaysian Chinese Muslim Association, Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dan Malaysia-China Chamber of Commerce and Industries.

Persatuan yang hadir pada 18 Januari lepas pula antaranya Cheng Ho Multi Culture Education, Malaysian Faith And Culture Interaction Kuala Lumpur dan Huazhong Malaysia.

Menurut KPN, sebarang pengumuman berkaitan pandangan dan rayuan yang dimasukkan dalam SOP Tahun Baharu Cina akan diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada Khamis, Ismail Sabri mengumumkan beberapa SOP untuk sambutan Tahun Baharu Cina pada 12 dan 13 Februari ini, antaranya hanya membenarkan aktiviti majlis makan besar diraikan bersama ahli keluarga dari rumah yang sama sahaja.

Aktiviti perayaan yang tidak dibenarkan pula meliputi upacara sembahyang di tokong, ziarah rumah ke rumah, rentas daerah dan negeri serta persembahan dan kebudayaan seperti persembahan tarian singa atau tarian naga, perarakan 'tanglung, perarakan 'chingay' dan persembahan opera cina atau pertunjukan pentas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Sambutan Tahun Baharu Cina hanya bersama keluarga: Ismail Sabri

SOP sambutan Tahun Baharu Cina akan diumum dalam masa terdekat