X

Kindly register in order to view this article
!

Muhyiddin berlepas pulang selepas kurang 24 jam di Indonesia

Muhyiddin (kiri) disambut oleh Presiden Indonesia Joko Widodo sebelum diberikan sambutan negara di Istana Merdeka hari ini sempena lawatan rasmi dua hari ke Indonesia. -Foto Bernama
A
A

JAKARTA - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berlepas pulang ke Malaysia petang ini, selepas melakukan lawatan rasmi kurang 24 jam ke Indonesia.

Perdana Menteri dan isteri Puan Seri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang tiba jam 4 petang semalam berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma, Jakarta pada jam 4.10 petang (waktu Indonesia barat).

Muhyiddin dalam sidang akhbar sebelum pulang berkata, lawatan rasminya ke Indonesia amat bermakna dalam mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia.

Menjelaskan pertemuannya bersama Presiden Joko Widodo (Jokowi) di Istana Merdeka, Muhyiddin berkata, Jokowi sangat mesra malah memintanya sentiasa berhubung melalui telefon bagi membincangkan isu berkaitan kepentingan kedua-dua negara.

Mengulas pertemuannya secara bersemuka berbanding webinar, Muhyiddin berkata:"(webinar) berbeza, (tapi pertemuan bersemuka) berasa kehangatan, walaupun tidak bersalaman," kata Muhyiddin, yang sebelum itu turut membuat kenyataan media bersama Jokowi, antaranya berkaitan isu Myanmar, diskiriminasi minyak sawit, isu pekerja Indonesia di Malaysia, isu jerebu dan isu Laut China Selatan, serta usaha menangani Covid-19.

Lawatan rasmi Muhyiddin adalah atas undangan Jokowi.

Kerjasama ekonomi, isu keselamatan dua hala dan serantau, isu dan kepentingan bersama kedua-dua negara memerlukan perbincangan di peringkat tertinggi secara bersemuka dan secara hati ke hati.

Lawatan itu diadakan dalam suasana protokol kesihatan yang ketat termasuklah menjalani saringan sebelum berlepas, selepas ketibaan, serta pelaksanaan kuarantin bagi delegasi sebaik pulang ke Malaysia. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!