'Bersyukur dipilih jadi OKU’

Aizan Sofia berkongsi pengalaman pada Program Wacana Al-Quran Siri ke-79 bertajuk ‘Santuni OKU peluang ke syurga yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.
Aizan Sofia berkongsi pengalaman pada Program Wacana Al-Quran Siri ke-79 bertajuk ‘Santuni OKU peluang ke syurga yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM – Menjadi orang kurang upaya (OKU) bukan satu hukuman dan kifarah, sebaliknya ia satu ujian kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat supaya lebih prihatin serta menyantuni golongan berkenaan.

Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Aizan Sofia Amin berkata, beliau bersyukur kerana ALLAH SWT memilihnya melalui pengalaman sebagai OKU fizikal.

Kongsinya, pada mulanya beliau sukar menerima takdir terpaksa menjadi OKU selepas kehilangan kaki kanan akibat kanser tulang ketika berusia 16 tahun.

“Saya dilahirkan sempurna tetapi ketika berumur 14 tahun, saya disahkan menghidap kanser tulang. Dua tahun selepas itu setelah pelbagai rawatan dan ikhtiar dilakukan, kaki kanan saya tidak dapat diselamatkan.

“Sejak itu saya menjadi seorang OKU fizikal dan ia bukan fasa yang mudah. Saya terpaksa menyesuaikan diri dengan identiti baharu,” katanya pada Program Wacana Al-Quran Siri ke-79 bertajuk ‘Santuni OKU peluang ke syurga' di Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.

Wacana tersebut dibawakan oleh CELPAD IIUM dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), IIUM CENTRIS, IIUM Disability Services Unit (DSU) dan Sahabat YADIM IIUM dengan misi MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah melalui Baca, Faham dan Amal.

Turut menjadi panelis ialah Pensyarah CELPAD, IIUM dan Presiden Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (MURSHID), Abdullah Bukhari serta Setiausaha Yayasan Pendidikan Al-Quran Bagi Anak Istimewa (Faqeh), Zaharatul Sophia Mohamed Amir Abas.

Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator, manakala qari jemputan, Abdul Khair Jalil memperdengarkan surah Abasa ayat satu hingga 16 dan surah al-Imran ayat 159.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri: Fazrul, Zaharatul Sophia, Abdullah dan Abdul Khair (kanan) ketika Program Wacana Al-Quran Siri ke-79 bertajuk ‘Santuni OKU peluang ke syurga yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.
Dari kiri: Fazrul, Zaharatul Sophia, Abdullah dan Abdul Khair (kanan) ketika Program Wacana Al-Quran Siri ke-79 bertajuk ‘Santuni OKU peluang ke syurga yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Khamis.

Berkongsi lebih lanjut, Aizan Sofia berkata, lebih memilukan apabila stigma masyarakat terhadapnya sebagai individu yang tidak sempurna.

“Waktu itu saya rasa sedih dan kecewa kerana ke mana sahaja saya pergi, orang akan sentiasa mengingatkan saya sebagai OKU, sering bertanyakan soalan sensitif dan menggores hati.

“Disebabkan itu saya nekad untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan psikologi bagi memahami mengapa manusia bersikap begitu dan sukar menerima perbezaan yang ada dalam diri saya.

“Saya kemudiannya mula menerima keadaan diri dan percaya setiap kita ada ujian masing-masing. ALLAH SWT sudah takdirkan saya sebagai OKU dan saya bersyukur kerana dapat melalui pengalaman ini," katanya.

Aizan Sofia turut melahirkan rasa syukur kerana ibu bapa dan ahli keluarganya sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi.

"Pasti ada hikmah di sebalik takdir ini dan setiap kali rasa sedih, saya akan sentiasa kembali kepada ALLAH. Kekuatan itu ALLAH pinjamkan kepada saya untuk reda dan pasrah menerima ketentuan takdir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat supaya golongan OKU tidak disisihkan, sebaliknya disantuni kerana mereka berhak menikmati segala kemudahan seperti individu normal.

“Saya percaya pada interaksi awal antara OKU dan bukan OKU, Ia boleh dilakukan melalui program pendidikan di sekolah dengan mengintegrasikan pelajar OKU dan bukan OKU bersama-sama.

“Dengan cara ini mereka dapat membantu dan memahami keperluan rakan OKU, sekali gus dapat hidup bersama sebagai sebuah masyarakat yang inklusif.

“Selain itu, kemudahan infrastruktur, pengangkutan dan sebagainya perlu ditingkatkan supaya golongan OKU dapat keluar dari rumah dan seterusnya dapat berintegrasi dalam masyarakat serta diterima sama seperti orang lain tanpa halangan,” katanya.

Aizan Sofia berkata, media juga berperanan untuk mengetengahkan isu berkaitan OKU bagi memberi kefahaman kepada masyarakat untuk menyantuni golongan berkenaan.