Tubuh jawatankuasa selesai masalah landa Hospital Mawar

Wakil NGO mengangkat tangan setuju untuk tubuhkan jawatankuasa kecil untuk bertemu dengan Kementerian Kesihatan.
Wakil NGO mengangkat tangan setuju untuk tubuhkan jawatankuasa kecil untuk bertemu dengan Kementerian Kesihatan.
A
A
A

SEREMBAN - Pusat Perubatan Mawar dan Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) menubuhkan jawatankuasa kecil bagi menyelesaikan kemelut yang melanda hospital tersebut.

Pengerusinya, Datin Chua Lay Ping berkata, sebanyak 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri ini akan mewakili mereka untuk bertemu dengan Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan resolusi terbaik berhubung kemelut dilalui.

Katanya, jawatankuasa itu akan memainkan peranan dalam membantu pihaknya mendapatkan kembali lesen operasi.

"Dialog yang diadakan hari ini (semalam) bertujuan untuk mendapatkan persetujuan daripada semua NGO terlibat supaya menyerahkan aset dan liabiliti kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk membantu.

"Bagaimanapun, resolusi ini ditangguhkan kerana ramai yang tidak setuju dan disebabkan itu kita sepakat untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kecil untuk berjumpa dengan pihak kementerian bagi mendapatkan jalan penyelesaian yang terbaik untuk semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi dialog bersama NGO dan Pengurusan Pusat Perubatan Mawar di Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Seramai 100 wakil NGO hadir pada sesi dialog tersebut yang berlangsung selama tiga jam.

Lay Ping berkata, PHM merupakan sebuah organisasi yang ditubuhkan melalui hasil dana dan derma ahli-ahli NGO negeri ini sejak 22 tahun lalu

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ia merupakan antara pusat dialisis yang paling ramai pesakit dan mempunyai 14 cawangan bagi seluruh negara dengan harga rawatan paling rendah berbanding tempat lain.

"PHM mempunyai 800 pesakit di seluruh negara dan mempunyai lebih 200 kakitangan yang menguruskan pusat rawatan tersebut.

"Kami harap sangat pusat ini dapat diteruskan untuk membantu pesakit terutamanya mereka yang berpendapatan rendah mendapatkan rawatan di sini," katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan membatalkan lesen Mawar Medical Centre di Seremban, berkuat kuasa serta merta kerana melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berikutan itu pusat perubatan terbabit perlu mengembalikan lesen dan memberhentikan operasi dengan serta-merta berkuat kuasa Januari lalu.

Sebelum itu, pada November 2018, Kementerian Kesihatan membenarkan PHM beroperasi seperti biasa berikutan terdapat ramai pesakit mendapatkan rawatan dialisis.