Pegawai, anggota imigresen antara tiga individu didakwa rasuah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia antara tiga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan melepaskan pendatang asing tanpa izin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA dan KLIA2) dan pengubahan wang haram di antara tahun 2018 hingga 2020.

Tertuduh, Mohd Faizzan Sani, 35, Muhammad Zul Anishaffizie Zakaria, 32, dan isterinya, Harlifarhani Abdul Halim, 29, peniaga butik pakaian bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Mohd Faizzan Sani sebagai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Gred KP29 yang bertugas di Pejabat Operasi Imigresen KLIA 2 didakwa atas tiga pertuduhan telah diberikan suapan keseluruhan RM1,000 daripada tiga pembantu Imigresen Gred KP19 berusia 30 hingga 43 tahun yang bertindak sebagai orang tengah bagi melepaskan warganegara China daripada sebarang tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Aras 1 dan 2 Bahagian Kawalan dan Keselamatan Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) bermula November 2019 sehingga November tahun lalu.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama.

Dalam pada itu, kes melibatkan pasangan suami isteri, anggota gred KP19 Jabatan Imigresen Malaysia, Muhammad Zul Anishaffizie didakwa menerima keseluruhan wang tunai RM310,800 tanpa balasan daripada tiga individu termasuk seorang wanita berusia 44 hingga 53 tahun melalui akaun simpanan bank milik isterinya dan seorang lagi wanita.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Zul Anishaffizie yang bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia, Bangunan AMC KLIA juga didakwa lapan pertuduhan pilihan menerima suapan dengan nilai keseluruhan RM310,800 dan cara memasukkan wang menggunakan kaedah sama bagi membantu melepaskan warga China dan Indonesia keluar daripada Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh didakwa telah melanggar peruntukan Seksyen 2 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk menggalakkan integriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran sektor awam serta gagal melaporkan kesalahan penyogokan kepada SPRM.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya mengikut 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama.

Bapa kepada seorang anak itu turut didakwa enam pertuduhan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil Kegiatan Tidak Sah (AMLATFPUAA) dengan jumlah keseluruhan RM278,700 yang diterima menerusi 86 transaksi pemindahan wang hasil aktiviti haram daripada dua individu yang dimasukkan ke dalam akaun milik seorang wanita berusia 51 tahun.

Sementara itu, isterinya, Harlifarhani didakwa dua pertuduhan AMLATFPUAA dengan menerima wang keseluruhan 32,100 daripada wanita berusia 44 tahun ke dalam akaun miliknya.

Sehubungan itu, mereka boleh dipenjara sehingga 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta mana lebih tinggi mengikut Seksyen 41 (1) (b) AMLATFPUAA yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta sama, sekiranya disabitkan kesalahan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah bank masing-masing di KLIA dan Bandar Baru Ampang bermula Februari 2018 hingga November 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Wan Azmir Wan Majid.

Mahkamah membenarkan Muhammad Zul Anishaffizie diikat jamin RM55,000 untuk kesemua pertuduhan dan isterinya pula diikat jamin RM10,000 manakala Mohd Faizzan dengan RM5,000 bersama seorang penjamin selain mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM Putrajaya.

Kes disebut semula pada 8 Mac depan.