Dua anggota polis dipenjara akibat rasuah

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Dua anggota polis dihukum penjara 36 bulan dan denda RM25,000 selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua tuduhan menerima suapan RM4,000 daripada seorang peniaga di Kuala Lipis pada 2016.

Lans Koperal Shafiq Kharidan, 28, dan Koperal Muhamad Nurlizam Ali, 35, yang sebelum ini bertugas di cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lipis turut berdepan hukuman penjara tambahan sembilan bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan keputusan itu, kedua-dua tertuduh dihukum penjara 36 bulan dan denda RM15,000 bagi pertuduhan pertama dan penjara 24 bulan bersama denda RM10,000 bagi tuduhan kedua.

Bagaimanapun hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.

Kedua-dua tertuduh didakwa pada 2018 atas tuduhan menerima secara rasuah RM3,000 dan RM1,000 daripada seorang peniaga pada 23 dan 24 September 2016 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu dan seorang lagi rakannya atas kesalahan memiliki rokok seludup.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 tetapi mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000.

Dalam prosiding pada Jumaat, pihak pembelaan memfailkan rayuan bagi memohon penangguhan hukuman.

Hakim membenarkan penangguhan hukuman penjara dan denda itu sehingga kes rayuan selesai dengan wang jaminan dikekalkan.

Artikel Berkaitan: