PH gesa kerajaan laksana kempen ‘yakin vaksin’ Covid-19

Dr Dzulkefly Ahmad
Dr Dzulkefly Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan melaksanakan kempen kesedaran bagi menyakinkan rakyat vaksin bakal digunakan selamat dan berkesan dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

PH menerusi Pasukan Pasukan Petugas Imunisasi berkata, kempen itu perlu dilakukan segera selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan vaksin Pfizer BioNTech akan tiba di Malaysia pada hujung Februari ini dan mula diberi kepada 500,000 petugas barisan hadapan.

“Apa yang tidak disebut Perdana Menteri adalah sama ada satu kempen ‘yakin vaksin’ seluruh negara akan dilakukan demi meyakinkan rakyat Malaysia bahawa vaksin yang akan digunakan adalah selamat dan berkesan dalam mengurangkan risiko jangkitan virus Covid-19.

“Kita tidak boleh beranggapan bahawa rakyat Malaysia malah juga petugas barisan hadapan bersedia menerima vaksin apabila program vaksinasi bermula nanti.

“Memandangkan gerakan anti vaksin dunia sudah berkembang dan wujud kelompok ‘anti vaxxer’ di Malaysia yang tidak mahu ambil vaksin Covid-19 ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pasukan Petugas Imunisasi PH itu dipengerusikan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan disertai lapan ahli Parlimen termasuk Timbalan Menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Menurut pasukan itu, walaupun Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan vaksin itu selamat digunakan, masih ramai rakyat tidak sedar tentang proses dilalui Bahagian Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) sebelum sesuatu vaksin itu diluluskan.

“Tambahan pula, terdapat petanda-petanda yang satu atau lebih vaksin mungkin diberi ‘kelulusan bersyarat’. Oleh itu, amatlah penting asas saintifik serta kadar keberkesanan setiap vaksin yang bakal diguna di Malaysia diterbitkan dengan jelas.

Artikel Berkaitan:

“Satu kempen bersungguh-sungguh bersama saintis, para profesional perubatan, selebriti yang dihormati dan mana-mana tokoh lain yang bersesuaian perlu dilakukan,” katanya.

Kata kenyataan itu lagi, apabila program vaksin dimulakan, penting untuk melaksanakan program ‘jejak dan kesan’ bagi setiap dos vaksin dari tempat simpanan hingga ke penerima.

“Ia bagi memberi keyakinan tambahan akan ada tindakan susulan bersesuaian bagi setiap individu yang sudah diberi vaksin. Ini juga akan dapat mengelakkan vaksin palsu dan sijil vaksin palsu daripada diguna, di mana kejadian ini dilaporkan di beberapa negara.

“Paling utama kerajaan perlu mempunyai mekanisme penjejakan dan strategi komunikasi kesan tidak diingini selepas imunisasi (Adverse Event Following Immunization (AEFI) yang menyeluruh.

“Ia sama seperti vaksin lain, sudah tentu akan ada individu alami kesan tidak diingini selepas diberi vaksin. Jika ini tidak ditangani dengan cermat, berita negatif daripada kes AEFI selepas kumpulan penerima vaksin pertama sudah pasti akan menyebabkan kumpulan penerima akan datang enggan menerima vaksin Covid-19,” katanya.