Polis Kota Setar tingkat pemantauan di tempat awam

Ahmad Shukri (tengah) bertanya sesuatu kepada pemandu yang melalui SJR di Tol Alor Setar Selatan di Alor Setar pada Khamis.
Ahmad Shukri (tengah) bertanya sesuatu kepada pemandu yang melalui SJR di Tol Alor Setar Selatan di Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis akan meningkatkan pemantauan di tempat awam selain turut mengekalkan strategi lima sekatan jalan raya (SJR) bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilanjutkan sehingga 18 Februari depan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, selain 12 pasukan pemantau sedia ada, pihaknya akan turut menggerakkan bahagian pencegahan jenayah dan keselamatan komuniti serta bahagian trafik untuk memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi orang ramai.

Beliau berkata, pihaknya juga bersedia untuk mengetatkan kawalan dan pemantauan menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada 12 Februari depan.

"Kita jangkakan ramai yang akan cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung, bukan sahaja bagi masyarakat Cina tetapi juga Melayu dan India yang turut mengambil kesempatan sempena cuti di hujung minggu.

"Kita akan turut melakukan pemeriksaan terhadap pengangkutan awam terutamanya melibatkan bas ekspres di laluan masuk di Plaza Tol Alor Setar Utara," katanya ketika ditemui di SJR Tol Alor Setar Selatan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, mana-mana penumpang yang didapati tidak mempunyai surat kebenaran polis untuk merentas negeri akan dikenakan kompaun dan diarahkan berpatah balik.

Sementara itu, Ahmad Shukri berkata, sepanjang pelaksanaan PKP dua minggu lalu, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 91 kompaun, melakukan tiga penahanan dan sebanyak 385 buah kenderaan diarahkan berpatah balik dalam cubaan merentas daerah.

"Tiga penahanan yang dilakukan itu adalah bagi kesalahan makan di tempat awam yang melibatkan pekerja warganegara asing, manakala kompaun yang dikeluarkan adalah bagi kesalahan pelanggaran SOP termasuk tidak memakai pelitup muka," katanya.

Artikel Berkaitan: