Ketua Al-Qaeda Yemen ditahan sejak tahun lalu

Khalid Batarfi - Foto AFP
Khalid Batarfi - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Pemimpin kumpulan Al-Qaeda di Yemen, Khalid Batarfi telah ditangkap sejak beberapa bulan lalu, kata satu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang didedahkan pada Khamis.

Batarfi merupakan ketua kumpulan Al-Qaeda Semenanjung Arab (AQAP) manakala timbalannya, Saad Atef al Awlaqi terbunuh dalam satu operasi di Bandar Ghayda, Yemen pada Oktober lalu, menurut satu laporan kepada Majlis Keselamatan badan dunia itu.

Laporan itu diserahkan kepada majlis tersebut oleh sebuah pasukan pemantau PBB yang mengesan Al-Qaeda, Daesh dan lain-lain kumpulan pelampau.

Bagaimanapun, laporan tersebut tidak menyatakan bila Batarfi ditangkap dan di lokasi mana dia ditahan.

Menurut CNN, ini adalah kali pertama penangkapan ketua Al-Qaeda itu disahkan secara rasmi.

Pada Oktober lalu, Kumpulan Perisikan SITE melaporkan Batarfi telah ditangkap oleh pasukan keselamatan Yemen di wilayah Mahra dan dia telah diserahkan kepada pihak berkuasa Arab Saudi.

Batarfi menjadi pemimpin AQAP pada awal tahun 2020 selepas kematian pendahulunya yang terbunuh dan satu serangan udara AS.

Dia yang berusia dalam lingkungan 40an adalah berasal daripada sebuah keluarga Yemen tetapi dilahirkan di Riyadh, Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

Batarfi mendapatkan latihan bersama anggota-anggota Al-Qaeda di Afghanistan sebelum serangan pengganas 11 September 2001 berlaku di Amerika Syarikat.

Dia kemudian menyertai kumpulan yang bersekutu dengan Al-Qaeda di Yemen dan menurut PBB, Batarfi membantu operasi luar kumpulan tersebut sebelum menjadi ketuanya. - Agensi