Tujuh asas wajar tubuh RCI siasat Tommy

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO Malaysia mendesak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera bagi menyiasat bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas serta perkara-perkara yang dibangkitkan dalam buku tulisannya 'My Story: Justice in the Wilderness'.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, selepas meneliti kandungan buku terbabit, pihaknya berpandangan siasatan oleh RCI sangat penting untuk memastikan kepercayaan rakyat tidak terhakis terhadap badan-badan yang terlibat dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang negara seperti Badan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, pihaknya menyenaraikan tujuh asas mengapa RCI wajar ditubuhkan bagi melakukan siasatan berhubung perkara itu.

"Asas pertama adalah penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim di mana Tommy mengakui terlibat di dalam mempengaruhi pemilihan dan penetapan Hakim-Hakim Kanan termasuklah Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak serta Hakim Mahkamah Persekutuan melalui beberapa siri perbincangan beliau bersama Perdana Menteri sedangkan beliau bukan Ahli Suruhanjaya Pelantikan Hakim.

"Ini jelas melanggar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (Akta 695) 2009," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Tambah Asyraf Wajdi, berikutan pendedahan Tommy dalam bukunya itu, siasatan RCI juga harus disekalikan dengan dakwaan salah laku kehakiman yang terkandung dalam afidavit yang difailkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer pada tahun 2019, selain terdapat campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan pengadilan.

Menurutnya, pendedahan Tommy juga menzahirkan wujudnya campur tangan yang jelas Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam badan pengadilan dan kehakiman dan ia jelas bertentangan dengan prinsip pengasingan kuasa sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, asas seterusnya disebabkan Tommy melakukan pendakwaan terpilih secara tidak adil apabila beliau bertindak menggugurkan pendakwaan bahkan menarik balik kes yang sedang dibicarakan melibatkan kes rasuah pemimpin tertinggi Lim Guan Eng walaupun agensi penguatkuasaan SPRM mengakui mereka mempunyai kes terhadap bekas Menteri Kewangan itu.

Artikel Berkaitan:

"Ini tidak termasuk sejumlah besar kes-kes lain yang ditarik balik melibatkan pimpinan PH (Pakatan Harapan) seperti R Sivarasa, Rafizi Ramli, N Surendran, Thomas Su Keong Siong, Hassan Karim dan ramai lagi.

"Thomas juga bertindak menghentikan prosiding undang-undang ke atas 12 individu termasuk dua pimpinan DAP yang didakwa menyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) walaupun pihak PDRM mempunyai kes terhadap mereka," katanya.

Selain itu, Asyraf berkata, faktor pelanggaran sumpah kerahsiaan jawatan dan Akta Rahsia Rasmi (Akta 88) 1972 oleh Tommy dengan mendedahkan kepada umum di dalam bukunya mengenai isi kandungan perbincangan dan konsultasi beliau selaku Peguam Negara bersama Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong yang diklasifikasikan sebagai sulit juga wajar disiasat.

"Tommy juga mengaku beliau 'melobi' jawatan Peguam Negara sejak dari sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan telah mendapatkan sokongan mendiang Karpal Singh serta Lim Kit Siang bagi jawatan itu.

"Malah beliau turut memaklumkan hal itu kepada Dr Mahathir selepas kemenangan PRU14 pada tahun 2018. Beliau juga secara langsung ataupun tidak menzahirkan kecenderungan politik beliau hingga mencairkan prinsip keadilan dalam melakukan pendakwaan terpilih bersifat politik terhadap pemimpin-pemimpin yang berbeza ideologi politik dengan beliau," katanya.

Beliau berkata, tindakan Tommy memperlekeh dan mendakwa pegawai-pegawai undang-undang yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebagai terlalu birokratik, makan gaji, dan tidak mempunyai komitmen, kompetensi dan semangat dalam melaksanakan tanggungjawab juga dilihat amat serius dan mampu memberi impak negatif daripada kaca mata rakyat terhadap badan perundangan negara yang seharusnya menjadi benteng keadilan buat mereka.

Asyraf Wajdi berkata, berdasarkan semua asas itu penubuhan RCI perlu disegerakan dan yang lebih mustahak siasatan yang akan dijalankan nanti mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan perundangan negara secara keseluruhannya agar tiada pihak yang teraniaya dan menjadi mangsa kepada politik pihak berkepentingan.

7 ASAS MEWAJARKAN PENUBUHAN SURUHANJAYA SIASATAN DIRAJA (RCI) BAGI MENYIASAT TOMMY THOMAS TERMASUK KEBEBASAN BADAN...

Posted by DR ASYRAF WAJDI DUSUKI on Thursday, February 4, 2021