Sindrom Melayu kiasu

A
A
A

SAYA tertarik dengan buku bertajuk “Bantuan Demokrasi dan Pendanaan Asing di Malaysia: Melewati Pertukaran Rejim". Berbagai hujah dan fakta diberikan dalam buku ini untuk mengiakan bahawa terdapat parti tertentu yang mendapat pendanaan asing dalam pertukaran rejim yang lalu di negara kita.

Jika ini benar, maka terdapat tangan-tangan ghaib yang bakal mencorakkan hala tuju negara ini. Setelah hampir 9 bulan pertukaran kerajaan di negara ini, banyak hal yang menunjukkan bahawa kini terdapat tangan-tangan ghaib yang mewujudkan Sindrom Melayu Kiasu (SMK).

Ini boleh dilihat apabila terdapat kumpulan-kumpulan tertentu dalam kalangan komuniti Melayu yang cuba menegakkan hak mereka tetapi dikatakan rasis oleh golongan SMK. Sedangkan jika ada kumpulan-kumpulan tertentu dalam kalangan komuniti bukan Melayu yang cuba menegakkan hak mereka tidak dikatakan rasis.

Malah pemimpin-pemimpin SMK ini mempertahankan tindakan kumpulan tersebut. Seolah-olah membenarkan persepsi dalam kalangan rakyat Melayu bahawa wujudnya satu hubungan antara hal yang berkaitan dengan tangan-tangan ghaib.

SMK seperti membenarkan kata-kata bahawa adalah lebih baik kepimpinan dalam institusi negara ini diterajui oleh bukan Islam yang berintegriti daripada kepimpinan Islam yang korup. Jika diamati, adakah perlantikan sebahagian kepimpinan institusi-institusi negara ini mempunyai kaitan dengan tangan-tangan ghaib dan SMK.

Kisah ini ibarat seperti satu masa dulu, si tuan rumah mengasihani tetamu-tetamu yang datang ke rumahnya. Lalu diberikan tetamu tersebut tumpang. Lama-kelamaan tetamu tersebut diberikan hak untuk tinggal lalu diberikan bilik di dalam rumah tersebut kepada tetamunya. Selang beberapa waktu, tetamu tersebut memohon pula kesetaraan hak dan diberikan hak untuk menguruskan dan mentadbir rumah.

Maka, tuan rumah mengiakan secara tidak langsung tanpa memikirkan masa depan anak-anaknya disebabkan terhutang budi. Walaupun anak-anaknya bukan semua yang bersetuju dengan tindakan ayahnya sebagai tuan rumah, sebahagian anak-anak tuan rumah ini telah menjadi SMK dan menyokong tindakan tuan rumah yang dianggap adil.

Tindakan SMK dalam kisah ini mengambarkan bahawa sebahagian mereka terlena dalam pemuasan jasmani dan sebahagian lagi puas dengan aktiviti-aktiviti keduniaan dan upacara-upacara keagamaan yang dianggap terbaik untuk mereka. Mereka terlupa bahawa bukan semua organisasi kerajaan yang dipimpin ummah adalah korup.

Artikel Berkaitan:

Kelemahan pasti ada dalam mana-mana organisasi sama ada awam atau swasta. Tetapi boleh diberikan peluang untuk memperbaikinya. Kenapa perlu menjaga hati orang lain jika orang lain tidak tahu menghormati hak kita sebagai tuan rumah.

Selama ini ekonomi negara ini dikuasai oleh tetamu tetapi anak-anak tuan rumah tidak pernah bising malah menurutinya. Sudah tiba masa, ekonomi di negara ini disetarakan jika tetamu ingin juga kuasa politik disetarakan. Ini baru namanya adil. Adil bermakna meletakkan yang hak di tempatnya. Bukan meletakkan sesuatu mengikut pembahagian. Anak-anak tuan rumah yang merupakan majoriti negara ini perlu juga diberikan hak setara ekonomi dan sosial.

Selama ini, majoriti anak-anak tuan rumah merupakan pekerja-pekerja dan hamba kepada ekonomi kapitalis. Adalah sukar untuk mereka keluar daripada belenggu keberhutangan dan bebanan kemiskinan bandar. Walaupun mereka bergelar kelas pertengahan tetapi kehidupan mereka tidak semewah seperti sebahagian tetamu rumah yang mengecapi kekayaan kemakmuran negara ini tanpa batas atau sekatan.

Meletakkan kepada yang hak dinamakan keadilan jika ingin menjayakan perpaduan di negara ini. Pepaduan tidak akan berjaya jika masih wujud pengasingan sistem pendidikan, penempatan, pekerjaan ekonomi dan lain-lain.

Kedudukan agama Islam juga perlu diutamakan dalam urus tadbir negara ini. Sensitiviti agama dan budaya adalah perangkap kepada perpaduan negara. Mahu tidak mahu tetamu perlu menghormati hak tuan rumah sebagai pemunya rumah. Dan tuan rumah perlu menjaga hak tetamu agar tetamu tidak dizalimi dan dibuli oleh anak-anaknya.

Golongan Sindrom Melayu Kiasu ini berjiwa barat tetapi bertubuh Melayu. Roh Islam sudah tiada dan yang tinggal hanya namanya Melayu. Bagi mereka solat tidak utama. Begitu juga masjid hanya dianggap sama seperti rumah ibadat lain. Mereka terhasil akibat daripada jiwa pendidikan yang memeluk erat pendidikan Barat sehingga mengabaikan pendidikan Islam.

Jadi tidak menghairankan sekiranya SMK berkerjasama dengan tangan-tangan ghaib dalam mengubah hala tuju pentadbiran negara ini supaya tidak lagi berkiblatkan kepada Islam.

*Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan