Bekas Pengerusi Mara Inc didakwa 22 tuduhan rasuah, gubah wang haram

Mohammad Lan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Mohammad Lan hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bekas Pengerusi Mara Incorporated Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini pada Jumaat terhadap 22 pertuduhan kes rasuah dan pengubahan wang haram, berjumlah RM20.45 juta.

Datuk Mohammad Lan Allani, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi dan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-14 di hadapan Hakim Azura Alwi, tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM7.45 juta daripada Pengarah Syarikat Optimus Capital Sdn Bhd, Mazrul Haizad Marof.

Ia melalui cek jurubank Malayan Banking Berhad yang dibayar ke akaun CIMB Investment Bank Berhad, sebagai upah untuk membantu meluluskan kertas cadangan bertajuk 'Proposed Acquisition of a Student Accommodation Building and Commercial Building Retail Block Known as Dudley International House’, 7-13 Dudley Street Caulified East, Victoria 3145, Melbourne, Australia.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Mont Kiara, Solaris Mont Kiara di sini antara 27 Mac hingga 26 Julai 2013.

Bagi pertuduhan ke-15 hingga ke-17, tertuduh didakwa sebagai seorang ejen iaitu Pengerusi Mara Incorporated Sdn Bhd, secara rasuah cuba untuk memperoleh suapan AUD$ 1 juta dan memperoleh masing-masing RM1 juta dan RM2 juta juta daripada Datuk Ding Pei Chai yang merupakan pemilik syarikat-syarikat Marinn Property Pte Ltd dan Carlton Garden Pte Ltd, untuk diri sendiri.

Ia sebagai dorongan untuk mempercepatkan pembayaran baki pertama sebanyak 10 peratus dan baki kedua sebanyak 30 peratus daripada jumlah nilai pembelian saham syarikat Marinn Property Pte Ltd dan syarikat Carlton Garden Pte Ltd di antara Pei Chai dan Mara Incorporated Sdn Bhd,

Kejadian didakwa dilakukan di tempat letak kereta Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) dan sebuah rumah di Bukit Bandaraya, pada Mei hingga Jun 2013.

Artikel Berkaitan:

Bagi pertuduhan ke-18 hingga ke-20, Mohammad Lan didakwa sebagai ejen sama didakwa secara rasuah cuba memperoleh suapan berjumlah RM10 juta daripada Pei Chai yang merupakan pemilik syarikat-syarikat Marinn Property Pte Ltd dan Carlton Garden Pte Ltd.

Wang tersebut sebagai satu dorongan untuk mempercepatkan pembayaran baki pertama sebanyak 10 peratus dan baki kedua sebanyak 30 peratus daripada jumlah nilai pembelian saham syarikat-syarikat tersebut antara Ding dan Mara Inc.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan sekitar bulan Mei dan Jun 2013 di KLGCC dan di sebuah rumah di Bukit Bandaraya.

Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ke-21 dan ke-22 yang disebut di hadapan Hakim Rozina, tertuduh didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah keseluruhan RM10 juta daripada akaun CIMB Private Banking Portfolio miliknya ke dalam akaun semasa dan akaun simpanan tetap CIMB Bank Berhad yang juga milik tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 10 Disember 2012 di CIMB Bank Jalan Sagunting, Central Building, Kota Kinabalu, Sabah.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM400,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili tertuduh merayu jumlah ikat jamin dibayar secara ansuran iaitu RM200,000 dibayar hari ini (Jumaat) dan selebihnya sebelum 16 Februari depan.

“Anak guam saya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri, selain menghadapi masalah sakit jantung dan tulang belakang malah beliau tidak dapat menyediakan kesemua jumlah ikat jamin yang dicadangkan hari ini,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM400,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta membenarkan ikat jamin dibayar secara ansuran yang mana RM200,000 diselesaikan pada hari ini (Jumaat) dan bakinya perlu dibayar sebelum 16 Februari.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 April depan.