'Tarik gelaran Tan Sri, haramkan buku Tommy Thomas'

Syed Mohd Johan Rizal
Syed Mohd Johan Rizal
A
A
A

ALOR SETAR - Pemuda UMNO Kedah memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menarik balik darjah kebesaran bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kerana sikap prejudis dan khianat kepada negara melalui penghasilan buku yang belum tentu kesahihannya.

Ketua penerangannya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pihaknya juga mengesyorkan supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan perintah larangan penerbitan terhadap buku itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Menurutnya, Tommy tidak layak memakai gelaran tertinggi negara selepas mengeluarkan sebuah buku, memoir bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas 'My Story; Justice in the wilderness' yang mendedahkan pelbagai rahsia negara.

"Beliau telah melanggar tanggungjawab dan integriti sumpah rahsia dan sumpah jawatan sebagai peguam negara apabila dengan sengaja memimpin ‘ekspedisi’ pembacanya terlibat dengan keributan politik peribadinya berlandaskan ‘maklumat orang dalam’ dan rahsia kerajaan dalam perkhidmatannya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis buka kertas siasatan terhadap Tommy Thomas

Mengulas lanjut, Syed Mohd Johan Rizal berkata, penulisan bekas peguam negara merupakan pandangan peribadi yang telah mengkritik, memperlekeh dan menghina institusi peguam negara, penjawat awam, bekad perdana menteri dan mengabaikan keputusannya yang ‘ironik’ dalam beberapa kes pendakwaan.

"Beliau juga telah mencemar institusi perundangan negara apabila menimbulkan pelbagai kerisauan pelanggaran etika jawatan dan kedudukannya.

"Tommy juga dalam tulisannya yang tidak berasas telah menimbulkan is- isu yang mampu mengancam keselamatan negara malah mengangkat siri tuduhan tuduhan melampau yang serius berbaur fitnah, rasis sifatnya, jauh dari kebenaran serta menghina kes dan prosiding kehakiman yang masih berjalan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Syed Mohd Johan Rizal berkata, pihaknya tidak mahu perkara tersebut menjadi satu kebiasaan nanti apabila penjawat awam yang bersara berani mendedahkan rahsia kerajaan menerusi sebarang medium.

"Pemuda UMNO Kedah mendesak PDRM menjalankan satu siasatan segera terhadap Tommy di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203A Kanun Tatacara Jenayah dengan mendakwa Tommy atas salah laku dan pembocoran rahsia.

"Beliau juga perlu didakwa atas penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong, fakta palsu mengenai bekas perdana menteri dan institusi penjawat awam serta pelbagai lagi dakwaan rekaannya," katanya.