Keindahan, keunikan Red Forest pukau pendaki

Pendaki menikmati panorama indah sambil bergambar kenangan di Red Forest.
A
A

JERANTUT - Sesuai dengan gelarannya, keindahan dan keunikan Bukit Buluh atau Red Forest yang terletak di Felda Padang Piol, di sini memukau 15 pendaki yang terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Dua Pahang dan ahli keluarga mereka.

Mendaki bukit dengan ketinggian 371 meter dari aras laut itu memberikan pengalaman baharu dan menarik kepada mereka.

Penyelaras program, Mohd Arshad Abdullah yang juga Komander Operasi Kanan Zon Dua Pahang berkata, terdapat kira-kira 20 pokok yang dahannya berwarna merah dan ia satu panorama sangat istimewa dan cantik.

"Ini menjadikan ia satu tarikan buat penggemar aktiviti lasak bagi mereka yang suka mendaki bukit sama ada dalam dan luar Pahang," katanya.

Menurutnya, aktiviti tersebut adalah salah satu riadah buat anggota dan ahli keluarga mereka yang terlibat selain mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah kekeluargaan.

"Sebelum aktiviti pendakian ini,kami ada membuat pelbagai persediaan mental dan fizikal selain logistik dan keperluan lain.

"Pendakian mengambil masa satu jam manakala turun kembali dalam tempoh 45 minit," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai aktiviti riadah lain yang bermanfaat akan dijalankan selepas ini.

"Kami berharap lebih ramai yang akan dapat sertai, sekali gus dapat mengeratkan tali silaturahim antara anggota dan ahli keluarga masing-masing," katanya.