Kami lega!

Muhammad Luqman mengharapkan PBT menangguhkan sebarang kenaikan sewa premis terutama bagi perkhidmatan gunting rambut memandangkan baharu sahaja dibenarkan beroperasi.
Muhammad Luqman mengharapkan PBT menangguhkan sebarang kenaikan sewa premis terutama bagi perkhidmatan gunting rambut memandangkan baharu sahaja dibenarkan beroperasi.
A
A
A

BAGAN DATUK - Pengusaha perkhidmatan gunting rambut menarik nafas lega apabila mereka boleh kembali membuka premis masing-masing mulai Jumaat.

Seorang usahawan, Muhammad Luqman Ariffin, 26, berkata, pengumuman yang dibuat oleh kerajaan itu memberi harapan kepada penggiat sektor berkenaan untuk kembali menjana pendapatan.

Menurutnya, sebelum ini banyak premis gunting rambut yang sedang gulung tikar kerana tidak dibenarkan beroperasi.

"Lebih membebankan mereka sebelum ini, dalam keadaan tidak dibenarkan beroperasi, bayaran sewa dan utilili serta gaji pekerja masih perlu diteruskan.

"Lebih teruk lagi apabila ada pihak berkuasa tempatan (PBT) menaikkan kadar sewa premis mereka yang sekaligus membebankan kami," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, Muhammad Luqman turut mengharapkan PBT menangguhkan semua kenaikan sewa premis mereka bagi meringkan beban usahawan yang terkesan.

Menurutnya, perkara lebih penting adalah semua pengusaha kedai gunting rambut dan pelanggan perlu disiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan agar sektor itu kekal beroperasi.

Bagi seorang pemilik premis gunting rambut, Azirul Syafiq Sazali, 26, berkata, pihaknya mengambil maklum tentang kepentingan untuk melanjutkan tempoh PKP bagi membendung penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Katanya, namun pembukaan semula kedai gunting rambut yang diumumkan kerajaan itu sekaligus membantu usahawan belia bumiputera yang mendominasi perkhidmatan berkenaan.

Jelasnya, jika penutupan premis itu berterusan, usahawan sektor akan mula gulung tikar akibat tidak mampu menampung kos sewa disebabkan tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan perniagaan.

"Barbershop bukanlah faktor utama penularan Covid-19 dan sehingga hari ini tiada kluster yang melibatkan sektor perniagaan barbershop. Lebih 60 peratus penyumbang kenaikan jangkitan Covid-19 adalah dari sektor pembinaan dan kilang malah ada yang masih dibenarkan untuk berkerja dalam keadaan pengawalan SOP yang ketat.

"Jadi amat wajar keputusan yang diumumkan oleh kerajaan itu dan saya berharap agar semua pihak di dalam sektor ini terus mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan itu merupakan keperluan asas yang perlu dibenarkan beroperasi dan ia tidak memberi ancaman penularan selagi pemantauan serta pelaksanaan SOP diperketatkan.

Pengumuman pembukaan semula sektor kedai gunting rambut diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang akhbar PKP pada Khamis.