Semangat tidak putus asa petani OKU

Senapi melihat kebun miliknya yang musnah akibat banjir melanda di daerah itu baru-baru ini
Senapi melihat kebun miliknya yang musnah akibat banjir melanda di daerah itu baru-baru ini
A
A
A

TEMERLOH - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan tidak putus asa untuk mengusahakan kembali kebun sayur miliknya yang musnah akibat banjir di Temerloh, baru-baru ini.

Senapi Hashim, 60, dari Kampung Paya Kecik berkata, dia mengalami kerugian lebih RM10,000 selepas hasil tanamannya musnah akibat bencana itu.

"Kebun sayur seluas 0.2 hektar ini saya usahakan sejak 2006 sebagai sumber rezeki. Saya tanam kangkung dan bayam, tetapi akibat banjir dan air naik sehingga empat meter, semua tanaman ini musnah.

"Memang saya sedih sebab semua sayur hanya tinggal tiga hari sebelum sempat saya kutip untuk dijual.

"Saya alami kerugian, namun saya reda dengan ujian daripada ALLAH dan tidak akan putus asa untuk mengusahakan kembali kebun sayur saya ini kerana inilah sumber rezeki untuk keluarga saya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Gotong-royong yang dilakukan oleh kakitangan Pejabat Pertanian Temerloh
Gotong-royong yang dilakukan oleh kakitangan Pejabat Pertanian Temerloh

Tambah Senapi yang hilang penglihatan sejak berusia tiga tahun akibat demam panas, dia akan memulakan kerja-kerja membajak dan semaian pada minggu ini dengan dibantu oleh isterinya, Rosahana Ismail, 56, yang juga seorang OKU penglihatan.

Artikel Berkaitan:

Pasangan itu mempunyai tiga cahaya mata berusia dari 17 hingga 21 tahun.

Menurut Senapi, dia kini lega kerana keadaannya itu telah mendapat perhatian daripada Pejabat Pertanian Daerah Temerloh yang mengambil inisiatif dengan mengadakan gotong-royong pasca banjir untuk membantunya.

Seramai 15 kakitangan termasuk Pegawai Pertanian Daerah, Gan Hwee Yiam dan Penolong Pegawai Pertanian, Mohamed Nazre Sulaiman terlibat dalam program itu yang melibatkan kerja-kerja pengapuran tanah, penaburan baja organik serta pembaikan sistem pengairan.

"Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pejabat pertanian yang prihatin dengan nasib saya sekaligus dapat mengurangkan beban yang ditanggung," katanya.

Senapi (dua dari kanan) bersama Hwee Yiam (tenga) semasa melaksanakan gotong-royong pasca banjir.
Senapi (dua dari kanan) bersama Hwee Yiam (tenga) semasa melaksanakan gotong-royong pasca banjir.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat (220101233059) atas nama Senapi Bin Hashim atau menghubunginya di talian 013-9960331.