Gunung Lanno makin gondol

Gunung Lanno yang mempunyai ketinggian lebih 370 meter berusia lebih 330 juta tahun bakal lenyap dari peta negeri Perak akibat aktiviti kuari di kawasan Simpang Pulai.
Gunung Lanno yang mempunyai ketinggian lebih 370 meter berusia lebih 330 juta tahun bakal lenyap dari peta negeri Perak akibat aktiviti kuari di kawasan Simpang Pulai.
A
A
A

[LAPORAN KHAS]GUNUNG Lanno yang mempunyai ketinggian lebih 370 meter berusia lebih 330 juta tahun bakal lenyap dari peta negeri Perak akibat aktiviti kuari di kawasan Simpang Pulai di sini.

Gunung terbesar di Lembah Kinta yang memiliki lebih 30 gua batu kapur cantik dan unik itu kian musnah apabila ada lebih 20 kilang kuari ditempatkan di zon berkenaan.

Aktivis Kinta Valley Watch, Ching Boon Tat, 38, berkata, keindahan hutan batu kapur mula terjejas apabila kawasan berkenaan dijadikan sebagai zon kuari.

Boon Tat kesal aktiviti kuari merosakkan keindahan hutan batu kapur.
Boon Tat kesal aktiviti kuari merosakkan keindahan hutan batu kapur.

Menurutnya, mereka bimbang Gunung Lanno akan menerima nasib sama seperti Gunung Terendum yang dahulunya dikatakan berketinggian lebih 430 meter.

“Kedua-dua gunung itu dapat dilihat ketika memandu kereta menuju ke utara semenanjung pasti pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan.

“Kesannya dapat dilihat pada gunung Terendum yang kini semakin rata setelah diletupkan bagi mendapatkan hasil mineral,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Peta Gunung Lanno
Peta Gunung Lanno

Boon Tat berkata lagi, Gunung Lanno, Gunung Terendum dan Gunung Rapat terletak dalam zon kuari berkenaan dilihat amat sukar untuk dipelihara dan pulihkan akibat kerosakan yang berlaku.

“Kita dapat lihat kilang-kilang kuari itu menjarah di jajaran hutan batu kapur bermula dari Chemor hingga Gopeng. Setiap kawasan mempunyai gua-gua yang dipercayai nilai sejarahnya tersendiri seperti spesies endemik, fosil dan lukisan pra sejarah dalam gua.

“Hutan batu kapur di Lembah Kinta seolah-olah menjadi lokasi pemusnahan berskala besar dan bukannya kawasan pemeliharaan keajaiban alam yang menyimpan warisan yang tidak ternilai,” katanya.

Boon Tat berkata, keunikan hutan batu kapur di Lembah Kinta mempunyai struktur menakung menjadikan ia sebagai tasik cermin.

“Seperti di Gunung Rapat yang popular dalam kalangan masyarakat dan merupakan tasik terbesar di kawasan hutan batu kapur, kita mempunyai enam lagi tasik yang sama di Lembah Kinta.

“Bagaimanapun, tiga daripadanya berdepan ancaman akibat daripada aktiviti kuari berhampiran.

Perbezaan antara Gunung Lanno dan Gunung Terendum. Ihsan: Facebook Kinta Valley Watch
Perbezaan antara Gunung Lanno dan Gunung Terendum. Ihsan: Facebook Kinta Valley Watch

“Tasik Cermin di Gunung Panjang, Gopeng antara yang terancam apabila terdapat kesan gelongsoran batu-batu dalam tempoh beberapa bulan,” katanya.

Katanya, tidak dinafikan aktiviti pengkuarian menjadi penyumbang kepada sektor ekonomi negeri tetapi ia perlu diurus dengan baik agar dapat menjaga kelestarian alam sekitar.

Fosil haiwan purba

Pada Oktober 2020, sekumpulan saintis berjaya menemukan fosil gajah purba dengan anggaran usia antara 30,000 hingga 80,000 tahun dalam gua batu kapur di Gopeng, Perak.

Gajah purba antara genus Proboscidea daripada keluarga Stegodontidae yang sudah lama pupus ditemukan di dalam gua batu kapur di Perak.
Gajah purba antara genus Proboscidea daripada keluarga Stegodontidae yang sudah lama pupus ditemukan di dalam gua batu kapur di Perak.

Gajah purba itu antara genus Proboscidea daripada keluarga Stegodontidae yang sudah lama pupus.

Spesies itu berbeza dengan gajah moden Asia (Elephas Maximus) yang masih wujud di negara ini.

Kumpulan penyelidik itu percaya Perak mempunyai kepelbagaian spesimen dan spesies Proboscidea paling tinggi iaitu sekurang-kurangnya dua atau tiga spesies pernah hidup di Semenanjung Malaysia.