ABMS senjata perangi rasuah

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia bagi tahun 2020 jatuh ke kedudukan 57 daripada 180 negara berbanding tangga 51 pada 2019.
Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia bagi tahun 2020 jatuh ke kedudukan 57 daripada 180 negara berbanding tangga 51 pada 2019.
A
A
A

INDEKS Persepsi Rasuah (CPI) 2020 oleh Transparency International (TI) yang dinanti-nantikan saban tahun telahpun diumumkan.

Malaysia menduduki tangga ke-57 daripada 180 buah negara dengan skor sebanyak 51/100. Pada tahun lalu, negara kita menduduki tangga ke-51 dengan skor yang lebih tinggi iaitu 53/100.

Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai salah satu agensi peneraju yang dipertanggungjawabkan dalam Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) kekal dengan pendirian bahawa masih banyak yang perlu dan boleh dilakukan dalam menangani isu rasuah.

Mempersoalkan kredibiliti bagaimana kajian dalam menentukan skor CPI dijalankan sama sekali tidak akan mengubah realiti rasuah di negara kita.

Perkara pokok yang lebih penting dan memerlukan perhatian semua pihak adalah tindakan yang harus diambil dalam membanteras jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Memang tidak dinafikan ramai yang mahukan perubahan ke arah yang lebih baik tapi hakikatnya berapa ramai yang mahu berubah dan sama-sama bertindak dalam usaha menangani rasuah? Setiap rakyat Malaysia perlu memainkan peranan masing-masing tanpa mengira umur, latar belakang, pangkat dan kedudukan dalam usaha menangani rasuah.

Bermula dari rumah, ibu bapa sudah boleh mula memberikan didikan sebaik mungkin kepada anak-anak akan keburukan rasuah dan menerapkan nilai-nilai integriti di awal usia mereka. Di peringkat seterusnya, pendidik, ketua-ketua organisasi dan pemimpin pula perlu mula bertindak dan berani bersuara menentang rasuah.

Jangan takut untuk menegur atau melapor jenayah rasuah berlaku di hadapan kita malahan terus membuat aduan ke peringkat yang lebih tinggi jika ada pihak yang menutup mata.

Ketua-ketua organisasi yang menjadi tulang belakang negara pula harus sentiasa peka dan tegas berpendirian teguh dalam menangani rasuah di organisasi masing-masing dan janganlah menjadi lalang apabila berdepan dengan pihak-pihak tertentu apabila rasuah berlaku.

Artikel Berkaitan:

Kini modus operandi jenayah rasuah dan salah guna kuasa semakin kompleks dan boleh dikatakan mengalami evolusi. Lihat sahaja kes-kes jenayah berprofil tinggi di negara kita, tidak dinafikan ‘mereka’ semakin bijak dalam merencanakan perbuatan jenayah ini.

Oleh itu, kaedah memerangi rasuah juga perlulah lebih taktikal dan sistematik. Sesi ceramah dan kempen kesedaran sudah tidak memadai.

Lihat sahaja CPI negara, masih belum pernah berada dalam kelompok 30 ke atas seperti yang disasarkan dalam Pelan Antirasuah Nasional (PIN). Kita tidak boleh lagi terus melakukan perkara sama sekiranya inginkan pencapaian yang berbeza.

Salah satu cadangan TI dalam laporan CPI 2020 adalah mengguna pakai standard antarabangsa bagi Integrity Pact dalam proses perolehan kerajaan.

IIM berpandangan satu sistem perlu dibangunkan oleh semua agensi iaitu MS ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) yang juga merupakan standard antarabangsa.

ABMS mampu menjadi senjata utama dalam mencegah dan memerangi jenayah rasuah di negara kita.

Meskipun sistem ini tidak menjanjikan tempat 10 teratas CPI, namun penggunaan sistem ini sekurang-kurangnya berpotensi mengubah kedudukan yang lebih baik pada masa akan datang.

Berdasarkan kajian keberkesanan yang dijalankan oleh The Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit (MAMPU), Universiti Malaysia Pahang (UMP), SIRIM dan IIM, jumlah aduan berkaitan aktiviti rasuah dalam organisasi telah meningkat sebanyak 50 peratus dengan adanya ABMS.

Ini jelas membuktikan kakitangan menjadi lebih berani untuk melaporkan isu berkaitan rasuah dengan adanya ABMS.

IIM menyeru semua agensi di Malaysia untuk tampil dan mula membangunkan sistem ini di organisasi masing-masing. Hasrat Malaysia untuk berada di kelompok teratas CPI bukanlah sesuatu yang mustahil dan keputusan CPI terkini bukanlah satu pengakhiran.

* Nor'afiza Saim ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM)