X

Kindly register in order to view this article
!

AS dimalukan Iran

Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Belanda ditubuhkan bagi menyelesaikan kes-kes yang berlaku dalam kalangan negara-negara anggotanya - Foto AFP
A
A

AMERIKA Syarikat (AS) dimalukan Iran dalam kes sekatan ekonomi yang dikenakan oleh negara Uncle Sam tersebut selepas sebuah mahkamah utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Belanda membuat keputusan yang memihak kepada Teheran pada Rabu lalu.

Dalam kes itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan ia mempunyai kuasa untuk mendengar kes bagi meminta sekatan ekonomi yang dilaksanakan oleh AS ke atas Iran ditarik balik.

Presiden ICJ, Abdulqawi Ahmed Yusuf ketika membaca penghakimannya menyatakan ICJ mendapati ia mempunyai kuasa untuk memberikan perhatian terhadap permohonan yang difailkan oleh Republik Islam Iran.

Keputusan itu dibuat pada Rabu lalu setelah Teheran memfailkan kes tersebut pada Julai 2018 beberapa bulan selepas Presiden AS ke-45, Donald Trump menyatakan beliau menarik keluar AS daripada menyertai perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang ditandatanganinya pada tahun 2015.

Ia turut dikenali sebagai perjanjian nuklear Iran dan ditandatangani di Vienna, Austria pada 14 Julai 2015 antara Teheran dengan lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB iaitu China, Perancis, Rusia, United Kingdom serta AS.

Gambar fail menunjukkan sebuah loji nuklear Iran yang terletak di Bushehr. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sebuah loji nuklear Iran yang terletak di Bushehr. - Foto AFP

Jerman dan Kesatuan Eropah (EU) turut menandatangani perjanjian itu bagi membolehkan Iran tidak dikenakan sekatan ekonomi tetapi perlu membenarkan PBB memeriksa kemudahan nuklear negara tersebut.

Perjanjian itu dimeterai kerana Iran dibimbangi akan menghasilkan senjata nuklear tetapi dinafikan negara tersebut berulang kali.

Namun, pada 8 Mei 2018, Trump membuat keputusan untuk menarik keluar AS daripada menyertai perjanjian itu sebelum melaksanakan sekatan terhadap eksport minyak Iran iaitu sumber utama pendapatan negara tersebut.

Iran yang memfailkan kes tersebut berhujah bahawa Washington telah melanggar satu perjanjian persahabatan yang dimeterai antara kedua-dua buah negara pada tahun 1955 ketika ia di bawah pemerintahan Shah Iran, Mohammad Reza Pahlavi dan sebelum dikenali dengan nama Republik Islam Iran.

Perjanjian persahabatan itu dikenali sebagai Perjanjian Persahabatan Hubungan Ekonomi dan Hak-Hak Konsular.

Dalam keputusan awal pada Oktober 2018, mahkamah tersebut juga memutuskan bahawa Washington perlu menarik balik sebarang sekatan ke atas Iran berkaitan dengan perdagangan ubat-ubatan dan peralatan perubatan, makanan dan komoditi pertanian.

Dalam penghakiman itu, pihak ICJ menyatakan barang-barang tersebut diperlukan untuk tujuan kemanusiaan dan ia mungkin memberikan kesan terhadap kehidupan individu di wilayah Iran.

Pentadbiran Trump ketika itu kemudian bertindak menarik keluar AS daripada Perjanjian Persahabatan Hubungan Ekonomi dan Hak-Hak Konsular itu.

Dalam pada itu, ketika perbicaraan, pasukan pembelaan AS berhujah bahawa ICJ tidak mempunyai kuasa untuk mendengar kes tersebut dan menyatakan sekatan itu adalah perlu kerana Teheran merupakan satu ancaman besar kepada keselamatan antarabangsa.

Bagaimanapun, hujah tersebut tidak diterima oleh majoriti 16 hakim mahkamah tersebut yang membuat keputusan berkenaan.

Minyak mentah menjadi sumber ekonomi penting buat Iran.
Minyak mentah menjadi sumber ekonomi penting buat Iran.

Kini pihak mahkamah telah membuat keputusan untuk mendengar kes tersebut dan ia mungkin mengambil masa selama bertahun-tahun untuk membuat keputusan.

Ini bukan kali pertama Iran membawa isu tersebut di ICJ kerana negara tersebut pernah menuduh kapal perang AS memusnahkan tiga platform minyak antara tahun 1987 hingga 1988 dalam Operasi Nimble Archer.

AS melancarkan serangan itu sebagai tindak balas terhadap serangan balas Iran menyerang sebuah kapal tangki minyak Kuwait.

Bagaimanapun, Iran kalah dalam kes tersebut di ICJ apabila mahkamah tersebut membuat keputusan serangan tersebut tidak melanggar perjanjian persahabatan tahun 1955 itu.

Mahkamah dunia itu juga menyatakan serangan tersebut didapati tidak memberikan kesan terhadap kebebasan perdagangan.

Menurut portal berita RFI, pada tahun 1989, Iran juga membawa kes sebuah kapal perang AS iaitu USS Vincennes yang sedang melakukan rondaan di Teluk Pasi menembak jatuh sebuah kapal terbang penumpang Airbus A-300B milik Iran Air menyebabkan 290 orang yang menaikinya terbunuh untuk dibicarakan di ICJ.

Namun, kes itu pada akhirnya diselesaikan di luar mahkamah. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!