Covid-19: Sarawak perketat kawalan di rumah panjang

Amar Douglas Uggah Embas
Amar Douglas Uggah Embas
A
A
A

KUCHING - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan mencari kaedah bagi mengadakan kawalan lebih ketat di kawasan rumah panjang dan kampung yang terlibat dalam sekatan pergerakan.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pada masa ini, kawalan dilihat kurang berkesan disebabkan jumlah anggota penguat kuasa yang ditempatkan di kawasan terlibat tidak mencukupi.

Menurutnya, beliau dimaklumkan terdapat kes penduduk meloloskan diri dari rumah panjang dan kampung mereka melalui ‘jalan-jalan tikus'.

“Esok kita akan mesyuarat dan bincang kaedah pengawalan yang lebih ketat termasuk untuk menambah bilangan anggota penguat kuasa seperti polis atau tentera,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan Covid-19 negeri itu di sini pada Khamis.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu turut menggesa penduduk rumah panjang dan kampung terlibat supaya memberikan kerjasama untuk tidak keluar ke tempat lain serta mengadakan sebarang keramaian dan aktiviti sosial bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, dua kematian akibat jangkitan Covid-19 direkodkan pada Khamis di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di negeri itu setakat ini ialah 44.

Sarawak turut merekodkan 270 kes positif Covid-19 pada Khamis yang merupakan kes harian tertinggi bagi negeri itu.

Uggah berkata, mesyuarat esok juga akan membincangkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembukaan semula kedai gunting rambut.

Artikel Berkaitan:

“Buat masa ini, kita masih kekal dengan SOP yang ada. Kita tidak perlu ikut SOP di Semenanjung kerana SOP kita berdasarkan keadaan semasa di negeri kita,” katanya. - Bernama