Sila log masuk terlebih dahulu.

30 ekor ‘babi berjanggut Borneo’ ditemui mati secara misteri

No Image Caption
A
A
A

SANDAKAN - Kira-kira 30 ekor ‘babi berjanggut Borneo’ ditemui mati secara misteri di beberapa kawasan di pantai timur negeri Sebah baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah, Dr Peter Lee berkata, jabatan itu sedang menyiasat punca kematian dan akan mengeluarkan kenyataan penuh mengenai puncanya selepas semua ujian dijalankan.

Menurutnya, pihaknya sedang mengkaji beberapa sampel, termasuk ujian kemungkinan keracunan; dan setakat ini ujian menunjukkan sampel yang diambil tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit berjangkit.

Beliau berkata, JPV mengesan kes awal kematian haiwan itu pada 28 Januari lepas semasa mengadakan mesyuarat secara dalam talian dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah, apabila dimaklumkan bahawa 14 ekor haiwan itu didapati mati di sekitar daerah Kinabatangan antara Disember dan Januari lepas.

Katanya, JPV seterusnya menubuhkan satu pasukan yang dianggotai petugas dari Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) bagi menyiasat perkara itu.

“Pasukan itu telah mengambil sampel daripada beberapa bangkai yang ditemui termasuk sampel sumsum tulang bagi ujian “Polymerase Chain Reaction” (PCR) untuk ujian penyakit serta makanan pepejal untuk ujian toksikologi.

“Bagaimanapun, disebabkan hujan berterusan dan kawasan itu mudah dinaiki air, agak sukar untuk mendapatkan sampel babi berjanggut Borneo di kawasan sama bangkai itu ditemui,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Dr Peter berkata, apa jua punca kematian haiwan itu tidak menjejaskan babi tempatan yang berada di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, jabatan itu tidak memandang ringan terhadap sebarang kemungkinan dan telah meningkatkan pemantauan haiwan itu dalam kawasan dari Kinabatangan sehingga Beluran dan Paitan.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian awal atau menyebar khabar angin yang boleh menimbulkan panik dalam masyarakat.. dan menggesa orang ramai supaya menghubungi segera Jabatan Perkhidmatan Haiwan yang terdekat sekiranya mereka mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini,” katanya. - Bernama