X

Kindly register in order to view this article
!

Projek di Arab Saudi: Prasarana akan lapor SPRM, SSM

Tajuddin
A
A

KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung projek Al Mashaaer Al Mugaddassah Makkah Metro Southern Line (MMMSL) di Arab Saudi yang mengakibatkan Prasarana menanggung jumlah kerugian teraudit bernilai 417 juta riyal Saudi (RM500 juta) bagi tahun kewangan 2019.

Pengerusi, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat pada akhir langkah siasatan forensik dan audit dalaman selama 18 bulan yang turut termasuk semakan audit oleh perkhidmatan khidmat nasihat PriceWaterhouseCoopers.

“Dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah yang diadakan pagi ini, kami berpuas hati dengan nasihat yang diberikan jawatankuasa risiko audit bahawa terdapat asas untuk Prasarana membawa perkara ini kepada pihak berkuasa bagi siasatan lanjut dan seterusnya tindakan undang-undang yang akan diambil,” katanya pada sidang media secara dalam talian pada Khamis.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan yang telah dilaksanakan itu, antara lain telah menyemak proses sebelum pemberian tender dan selepas pemberian tender MMMSL, pelaksanaan keseluruhan obligasi kontrak Prasarana serta isu-isu penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih berkaitan dengan alat ganti dalam projek tersebut.

Menurutnya, penglibatan pegawai dan ahli lembaga Prasarana, Rapid Rail Sdn Bhd dan Prasarana Integrated Management & Engineering Services Sdn Bhd (PRIME) juga diteliti semula.

Beliau berkata, tindakan Prasarana adalah sejajar dengan komitmennya terhadap tadbir urus yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

“Ini adalah siasatan yang mencabar memandangkan banyak pegawai utama yang terlibat dalam projek MMMSL telah meninggalkan Prasarana dan/atau PRIME dan/atau Rapid Rail,” katanya.

Tajuddin berkata, keadaan jarak projek itu yang jauh juga mendorong siasatan tersebut memerlukan kerjasama daripada dan bantuan pihak perunding termasuk perunding sebelum ini yang berpangkalan di luar negara.

“Selain itu, pegawai penyiasat juga perlu membuat saringan terhadap sejumlah besar dokumen, yang dipindahkan dari Arab Saudi ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Prasarana akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan mereka dan tindakan undang-undang berkaitan.

Katanya, hasil siasatan itu akan membolehkan Prasarana menentukan tindakan lanjut termasuk memulakan langkah undang-undang yang sewajarnya.

“Dalam melangkah ke hadapan, sebuah jawatankuasa pelaburan dianggotai ahli lembaga pengarah ditubuhkan untuk meneliti usaha sama pelaburan dan perniagaan utama Prasarana.

“Lembaga pengarah amat serius dan komited dalam memastikan Prasarana dan pegawainya mematuhi amalan perniagaan baik dan tadbir urus korporat yang betul, yang paling penting adalah boleh dipercayai, berprinsip dan beretika dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya.

Pada 16 April, 2015, Prasarana, melalui anak syarikatnya, PRIME, diberikan kontrak tiga tahun untuk mengendalikan dan menyelenggara laluan di antara stesen Arafat 1 dengan stesen Jamarat di utara Makkah, mengambil alih daripada China Railway Construction Consortium. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!