Usah pinggir industri bola sepak

Mohammed Suffian berharap kerajaan mendengar pandangan MFL dan pemegang taruh Liga-M.
FOTO: FB MFL
Mohammed Suffian berharap kerajaan mendengar pandangan MFL dan pemegang taruh Liga-M. FOTO: FB MFL
A
A
A

PEMEGANG taruh Liga Malaysia (Liga-M) terus menyuarakan kebimbangan mereka di sebalik ketidaktentuan penganjuran saingan liga domestik ekoran penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, sudah sampai masanya industri bola sepak mendapat ruang yang sama oleh pihak kerajaan untuk dibenarkan beroperasi seperti mana sektor ekonomi lain.

“Sebagai CEO Sri Pahang FC yang bertanggungjawab kepada semua pemain yang secara tidak langsung merupakan pekerja, saya juga mengidamkan industri bola sepak dapat berlangsung sepertimana industri-industri yang lain.

"Saya juga ada berbincang dengan CEO kelab-kelab yang lain, mereka juga rasa gusar jika liga tidak dapat dijalankan atau ditangguh terlalu lama kerana mereka akan banyak menjawab perkara itu dengan pihak penaja, apakah keuntungan yang mereka akan dapat jika liga tidak dapat diteruskan?

“Kita faham dan sentiasa akan patuhi apa jua hasrat kerajaan, namun keresahan ini dapat diatasi jika liga dapat diteruskan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

“Semua pasukan juga kena bantu kerajaan dalam soal ini. Mereka tidak boleh cakap mahu berlatih macam biasa dan pihak kerajaan juga kena dengar apa pandangan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) serta rakan industri yang lain,” katanya.

CEO Terengganu FC, Ab Rashid Jusoh juga sependapat dengan Suffian sambil mengharapkan agar ramai pihak dapat melihat kepentingan industri bola sepak menjangkaui daripada sektor sosial semata-mata.

“Di Malaysia, bola sepak ini bukan lagi sebagai salah sebuah cabang sukan, tetapi ia telah menjadi satu industri besar yang telah membina rantaian ekonomi tersendiri.

Artikel Berkaitan:

“Sebarang penangguhan liga akan memberi impak negatif buat industri ini kerana ia bukan menjejaskan pasukan sahaja tetapi melibatkan banyak pihak dan entiti termasuklah pelabur atau penaja, peniaga serta syarikat penyiaran.

“Jika kita melihatkan di Eropah, kes Covid-19 di negara mereka lebih tinggi berbanding Malaysia, namun mereka berjaya menggerakkan liga seperti biasa dengan penambahan SOP yang ketat.

“Perkara yang sama dilihat boleh dilakukan di negara kita dengan syarat-syarat yang perlu dipersetujui antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau pihak berwajib bersama FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MFL,” ujarnya.