Kelantan United sukar cari penaja

Barisan pemain Kelantan United FC menjalani latihan sebelum pelaksanaan PKP.
FOTO: FB KUFC
Barisan pemain Kelantan United FC menjalani latihan sebelum pelaksanaan PKP. FOTO: FB KUFC
A
A
A

KELANTAN United FC (KUFC) mengakui sukar mendapatkan penajaan bagi menguruskan pasukan susulan penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga-M) akibat penularan Covid-19 ketika ini.

Setiausaha Eksekutif KUFC, Wan Mohd Zul Ikman berkata, kesukaran itu berikutan kebanyakan syarikat tidak berani untuk memberikan tajaan kerana tidak yakin dengan pulangan diperolehi terutamanya dari segi promosi kepada penonton.

"Kesukaran ini menjadikan kerisauan kepada kami, malah turut dihadapi oleh kebanyakan pasukan lain dalam saingan Liga-M," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan saingan Liga-M 2021 yang dijangka berlangsung pada Februari terpaksa ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak.

Justeru, katanya, penangguhan Liga-M sedikit sebanyak memberikan kesan kepada pihak pengurusan bagi memperolehi pendapatan menguruskan pasukan.

"Jika ditangguhkan ia akan memberikan kesan, terutamanya melibatkan pembayaran gaji pemain memandangkan pasukan telah menandatangani kontrak pemain.

"Ketika ini kami hanya bergantung kepada sumber kewangan simpanan untuk membayar gaji pemain bagi bulan pertama musim ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengharapkan saingan Liga-M tidak ditangguhkan dalam jangka masa yang lebih lama pada musim ini.

Artikel Berkaitan:

"Harap liga tidak ditangguhkan sebab ia melibatkan punca mata pencarian pegawai dan pemain pasukan bagi menyara keluarga dan membayar komitmen bulanan," katanya.

Katanya, kehadiran penyokong ke stadium sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan kewangan yang perlu ditanggung oleh pihak pengurusan.

"Perlu ada kajian prosedur operasi standard (SOP) bagi membenarkan kehadiran penyokong... contohnya ada penjarakan fizikal di stadium dan kawalan kemasukan penonton melalui pintu masuk,” katanya. - Bernama