Polis gempur kasino 'cap ayam'

Polis menyerbu sebuah premis di Kepong, Kuala Lumpur pada Khamis yang dijadikan sebagai tempat perjudian sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Polis menyerbu sebuah premis di Kepong, Kuala Lumpur pada Khamis yang dijadikan sebagai tempat perjudian sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebuah premis di tingkat satu di Jalan Metro Perdana Timur 10, Kepong di sini, yang disewa untuk dijadikan 'mini kasino' sempena perayaan Tahun Baharu Cina digempur polis pada Khamis.

Ops Limau bermula jam 4.40 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hasil maklumat dan risikan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, serbuan itu bertindak menahan 21 individu berusia lingkungan 29 hingga 67 tahun termasuk seorang wanita.

"Turut dirampas adalah wang tunai RM54,000 dan pelbagai peralatan perjudian.

"Siasatan mendapati terdapat tiga jenis perjudian yang ditawarkan iaitu bola golek, mahjung dan daun terup dengan nilai pertaruhan RM1 sehingga RM200," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan pada Khamis.

Polis menyerbu sebuah premis di Kepong, Kuala Lumpur, pada Khamis yang dijadikan sebagai tempat perjudian sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Polis menyerbu sebuah premis di Kepong, Kuala Lumpur, pada Khamis yang dijadikan sebagai tempat perjudian sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis percaya premis yang mempunyai tiga bilik itu disewa sejak dua hingga tiga minggu lalu oleh seorang lelaki yang berperanan sebagai penganjur dengan bayaran RM1,000.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi menyukarkan polis mengesan kegiatan itu, pemain terdiri daripada rakan dari sekitar daerah Sentul sahaja selain hanya beroperasi sehingga jam 7 petang.

"Kesemua tangkapan telah dibawa ke IPD Sentul untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Selain itu, kesemua mereka turut dikenakan tindakan kompaun kerana berkumpul tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka," katanya.

Tegasnya, pihaknya telah menubuhkan pasukan khas di peringkat kontinjen dan daerah bagi membanteras kegiatan perjudian di Kuala Lumpur khususnya.