Projek Zero Hunger bantu keluarga kuarantin Covid-19

Salah seorang penerima bantuan membawa sumbangan yang disampaikan menerusi program itu.
Salah seorang penerima bantuan membawa sumbangan yang disampaikan menerusi program itu.
A
A
A

PUCHONG - Sebuah keluarga yang sedang menjalani kuarantin di rumah menjadi antara penerima bantuan menerusi Projek Zero Hunger diusahakan oleh Malakat Mall di Pangsapuri Puchong Permai pada Selasa lalu.

Pengerusi Penduduk (Blok F1-F10) Taman Puchong Permai Fasa 1C, Talhat T A Kasaali berkata, pihaknya memahami kesukaran dihadapi oleh ahli keluarga itu selepas salah seorang daripada mereka didapati positif Covid-19 dan perlu dikuarantin.

Disebabkan itu, Talhat berkata, keluarga berkenaan telah dibantu menerusi Projek Zero Hunger itu memandangkan mereka tidak dapat keluar untuk mendapatkan barangan keperluan.

"Selain keluarga itu, penerima bantuan ini dipilih dalam kalangan ibu tunggal, warga emas dan golongan memerlukan.

"Kawasan ini mempunyai banyak blok malah pastinya ramai yang terjejas dengan penularan wabak ini dan disebabkan itulah bantuan ini disampaikan kepada mereka yang layak," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menerusi inisiatif Projek Zero Hunger itu, bantuan berkenaan disampaikan kepada 150 orang penerima di pangsapuri berkenaan yang layak bagi membantu meringankan bebanan ditanggung mereka susulan Covid-19 ini.

Selain Malakat Mall, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Team Marhean Puchong turut sama turun padang bagi membantu penyerahan bantuan berkenaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Dalam pada itu, pengurus projek, Ziela Wahi berkata, usaha itu merupakan inisiatif Malakat Mall dengan memilih penerima yang benar-benar terkesan akibat pandemik Covid-19 ini.

Artikel Berkaitan:

Ziela (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima Projek Zero Hunger Malakat Mall yang berlangsung di Pangsapuri Puchong Permai pada Selasa.
Ziela (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima Projek Zero Hunger Malakat Mall yang berlangsung di Pangsapuri Puchong Permai pada Selasa.

Menurutnya, secara keseluruhan, agihan bantuan itu melibatkan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula sabun, lampin dan lain-lain bernilai RM40,000.

"Bantuan ini kita sasarkan kepada golongan B40 serta mereka yang memerlukan bagi meringankan bebanan pihak terlibat," katanya.

Sementara itu, seorang penerima, Che Su Rani, 58, menzahirkan rasa syukur di atas pemberian bantuan berkenaan berikutan pendapatannya menjual nasi lemak terjejas selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Walaupun berniaga sedikit, ia tidak dapat menampung keperluan sekeluarga ketika ini," katanya.

Seorang pesakit saraf pada kaki, Asnah Johar, 59, turut bersyukur apabila dipilih sebagai penerima bantuan itu dan pihaknya berharap lebih banyak syarikat korporat dapat tampil membantu golongan memerlukan sewaktu PKP ini.