Tukang cuci mengaku salah lakukan amang seksual

Kompleks Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi Kuala Terengganu.
Kompleks Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang tukang cuci dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun pada Januari lepas.

Lelaki berusia 58 tahun mengaku salah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di dalam sebuah bilik stor di sebuah masjid di daerah ini, jam 10.30 pagi pada 16 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 11 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu fakta dan hukuman.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah di hadapan Hakim Nooriah Osman dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, perbuatan tertuduh disedari pengawal keselamatan yang keselamatan yang bertugas sebelum memaklumkan kejadian itu kepada pihak pengurusan masjid.

Artikel Berkaitan:

Mangsa dikatakan ke masjid berkenaan bersama bapa saudaranya yang juga rakan sekerja kepada tertuduh.