Vaksin mRNA selamat digunakan

Percubaan berskala besar telah dilakukan untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan vaksin mRNA.
Percubaan berskala besar telah dilakukan untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan vaksin mRNA.
A
A
A

SHAH ALAM - Young Scientists Network, Akademi Sains Malaysia (YSN-ASM) memaklumkan vaksin berasaskan messenger RNA (mRNA atau MRNA) selamat untuk digunakan.

YSN-ASM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan vaksin mRNA Covid-19 telah melalui pelbagai ujian makmal dan haiwan yang ketat, diikuti kajian klinikal menyeluruh.

"Untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan vaksin ini, percubaan berskala besar dijalankan melibatkan peserta berjumlah 10 kali ganda lebih besar daripada ujian klinikal berskala biasa yang mana terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa.

"Kesan sampingan vaksinasi, sama ada dengan vaksin tradisional atau vaksin mRNA telah dilaporkan secara mendalam dan boleh didapati secara dalam talian.

"Kesan sampingan vaksin Covid-19 mRNA juga telah dilaporkan secara telus oleh pengeluar vaksin terlibat," kata kenyataan itu mengulas kebimbangan masyarakat terhadap vaksin yang berasaskan mRNA.

Menurut kenyataan itu, beberapa individu yang menerima vaksin mRNA boleh mengalami kesan seperti kesakitan sampingan, lengan bengkak, demam atau dan menggigil kesejukan.

Bagaimanapun, YSN-ASM berkata, kesan sampingan tersebut bersifat sementara, tidak berbahaya dan ianya terbukti hilang dalam tempoh sewajarnya.

"Bagi kes-kes berprofil tinggi melibatkan kematian dan kesan sampingan yang lebih serius dilaporkan selepas mengambil vaksin Pfizer mRNA, terdapat penjelasan terperinci bagi kebanyakan kes-kes tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua penjelasan menunjukkan bahawa kes-kes tersebut tidak berkaitan dengan pengambilan vaksin," katanya.

Dalam pada itu, kumpulan saintis muda itu berkata, keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19 merupakan tunggak utama dalam setiap proses kawal selia penghasilan vaksin.

Oleh itu, tambahnya, tiada tolak ansur dilakukan untuk kelulusan pada setiap proses tersebut bagi memastikan kesihatan jangka panjang rakyat yang berkekalan.

Di Malaysia, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah memperoleh vaksin Pfizer sebagai sebahagian daripada vaksin untuk dibekalkan kepada rakyat Malaysia.

"Vaksin Pfizer ini dipilih berdasarkan profil laporkan yang mempunyai tahap keberkesanan tertinggi pada waktu ini.

"Vaksin-vaksin lain yang turut terlibat ialah AstraZeneca, Gamaleya, Sinovac dan CanSino (bergantung kepada kelulusan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan)," kata kumpulan saintis muda YSN-ASM.

Sementara itu, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) yang juga Pusat Kerjasama WHO untuk Pengawalan Pengawalan Farmaseutikal sejak tahun 1996, baru-baru ini telah membuat sorotan dokumen saintifik yang diterbitkan oleh Pfizer.

YSN-ASM berkata, pihak terbabit juga mendapati bahawa ia memenuhi syarat keselamatan dan keberkesanan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

Menurut kumpulan saintis muda itu lagi, perjuangan melawan Covid-19 pada dasarnya tertumpu kepada usaha dan tujuan yang sama iaitu untuk melindungi nyawa dan kehidupan.

"Kebimbangan orang ramai tentang keselamatan dan keberkesanan vaksin Covid-19 perlu diberi perhatian serius dan ditangani dengan kebenaran saintifik jika kita mahu memperoleh kemenangan dalam perjuangan ini.

"Sebagai saintis muda, kami telah berkongsi beberapa fakta daripada penjelasan kami, namun lebih banyak fakta mengenai sains di sebalik teknologi vaksin mRNA boleh didapati dalam talian," kata mereka.