Pesara kerajaan rugi lebih RM1 juta diperdaya Macau Scam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pesara kerajaan kerugian RM1,007,673.33 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis dan Pos Laju pada 25 September lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, wanita berusia 74 tahun itu mendakwa telah menerima panggilan telefon dari Ibu Pejabat Pos Laju Malaysia.

Menurutnya, suspek mendakwa terdapat bungkusan yang didaftarkan atas nama mangsa mengandungi kad pengenalan dan tiga kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

"Suspek telah menyambungkan talian kepada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram.

"Panggilan itu kemudian telah disambungkan kepada seorang individu yang dikenali sebagai Si Wan dengan menyatakan bahawa mangsa akan ditangkap jika enggan memberikan kerjasama.

"Oleh kerana takut dan bimbang, mangsa telah mengikut segala arahan dengan memberikan semua maklumat akaun bank kepada Si Wan," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, mangsa telah memindahkan wang daripada akaun Tabung Haji ke dalam akaun sebuah bank miliknya berjumlah RM 833,000 pada 1 Oktober lalu.

"Si Wan meminta wanita itu untuk memberikan kad ATM bank miliknya untuk tujuan pengeluaran wang bagi tujuan audit pada 5 Oktober lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nik Ezanee berkata, pada keesokan hari, mangsa telah pergi ke sebuah pusat membeli belah dan meletakkan kad ATM di atas peti surat seperti yang diarahkan oleh suspek melalui panggilan telefon.

"Mangsa telah melakukan transaksi pemindahan wang daripada akaun lain ke bank tersebut berjumlah RM 75,000.

"Selepas transaksi tersebut, mangsa juga telah membuat empat kali transaksi wang ke dalam akaun bank berkenaan yang berjumlah RM 84,500," katanya.

Menurutnya, mangsa menyedari dirinya tertipu telah membuat laporan polis pada Rabu.

"Modus operandi sindiket itu masih lagi menyasarkan kepada golongan warga emas yang kurang pendedahan mengenai maklumat terkini tentang jenayah siber," katanya.

Nik Ezanee turut menasihati agar orang ramai supaya tidak mudah panik dan terpedaya dengan tipu helah serta ugutan yang dilakukan oleh sindiket ini.

"Sekiranya orang ramai menerima panggilan sebegini yang mencurigakan, mereka perlu menghubungi ahli keluarga untuk berbincang atau hubungi pihak polis dengan segera," katanya.