MAIK kekalkan SOP 50 jemaah solat Jumaat

MAIK masih menggguna pakai SOP hanya 50 individu dibenarkan menunaikan solat Jumaat di negeri ini berikutan lanjutan PKP. Gambar kecil: Tengku Tan Sri Mohamad Rizam
MAIK masih menggguna pakai SOP hanya 50 individu dibenarkan menunaikan solat Jumaat di negeri ini berikutan lanjutan PKP. Gambar kecil: Tengku Tan Sri Mohamad Rizam
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) masih mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) hanya 50 individu dibenarkan menunaikan solat Jumaat di negeri ini berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah mengampuni perkenan agar pelaksanaan SOP solat Jumaat dan solat lima waktu dilanjutkan bermula 5 Februari hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurutnya, solat lima waktu dan solat Jumaat serta pelaksanaan dalam tempoh PKP ini adalah dibenarkan kecuali kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Masjid, surau dan musolla hanya akan dibuka satu jam sebelum waktu solat dan akan ditutup selepas solat disempurnakan. Bilangan jemaah yang dibenarkan untuk solat Jumaat di masjid ialah 50 orang jemaah sahaja.

"Bagi solat lima waktu di masjid negeri pula dibenarkan tidak melebihi jumlah 12 orang jemaah termasuk imam tua, imam muda, bilal, siak dan ahli jawatankuasa sahaja manakala solat fardhu di surau dan musolla dibenarkan hanya lima jemaah sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, jawatankuasa masjid dan jemaah hendaklah sentiasa mengamalkan normal baharu dengan mewujudkan kaunter di pintu masuk yang dihadkan bilangannya bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran jemaah.

Katanya, mereka juga perlu melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wudhuk, selain menghadkan penggunaan tandas mengikut jumlah tandas yang ada pada satu-satu masa.

"Jawatankuasa masjid, surau dan musolla wajib mempunyai petugas yang mencukupi bagi membantu kawalan jemaah dan kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera atau borang daftar hadir atau direkodkan di dalam buku kehadiran yang mesti di simpan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu.

Artikel Berkaitan:

"Borang daftar hadir dan buku kehadiran mesti mengandungi maklumat tarikh, waktu, nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan alamat tempat tinggal. Pintu masjid dibuka sejam sebelum azan manakala pintu dan tingkap masjid wajib dibuka sepanjang solat didirikan,"katanya.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut memaklumkan penggunaan penghawa dingin adalah tidak digalakkan dan jemaah juga perlu melakukan penjarakan sosial di dalam dan luar masjid iaitu sejauh satu meter.

"Jemaah perlu memakai pelitup muka dan hendaklah masuk ke dalam masjid dengan teratur dan mematuhi penjarakan satu meter antara satu sama lain dan jemaah yang bergejala atau menghidap penyakit kronik, kanak-kanak di bawah umur 12 tahun serta jemaah yang berumur 70 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir.

"Semua ahli jemaah yang hadir diwajibkan membawa sejadah sendiri dan tidak dibenarkan bersalaman sesama yang hadir

"Tiada perkumpulan dibenarkan selepas selesai aktiviti samada di dalam atau di luar masjid, surau, dan musolla. Jemaah hendaklah mengambil wudhu' di rumah, namun dibenarkan memperbaharuinya di masjid, surau atau musolla dengan mematuhi penjarakan sosial,"katanya.