Lelaki diberkas pecah masuk asrama pekerja

Suspek membawa sebilah pisau dengan tujuan untuk menyamun penghuni asrama tersebut.
Suspek membawa sebilah pisau dengan tujuan untuk menyamun penghuni asrama tersebut.
A
A
A

GOMBAK - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memecah masuk sebuah asrama pekerja di Bandar Rawang 12 Pusat Bandar Rawang di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian pada jam 4 pagi itu, seorang lelaki berusia 33 tahun telah dihubungi oleh pekerjanya untuk memaklumkan mengenai kejadian itu.

"Lelaki itu kemudiannya telah pergi ke lokasi kejadian dan mendapati suspek telah diikat oleh pekerjanya.

"Seramai tiga pekerjanya mengalami kecederaan di bahagian badan dan tangan dipercayai terkena pisau semasa bergelut menangkap suspek," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Arifai berkata, sepasukan Polis dari Balai Polis Rawang telah pergi ke tempat kejadian dan membuat tangkapan semula ke atas suspek.

"Kita turut merampas sebilah mata pisau serta hulu pisau ditempat kejadian," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek berusia 21 tahun itu bertindak secara solo memecah masuk melalui pintu utama asrama.

"Suspek membawa sebilah pisau dengan tujuan untuk menyamun penghuni yang terdiri daripada warga asing di asrama tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Arifai berkata, suspek ditahan reman selama enam hari bermula Khamis hingga Rabu ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam perkembangan kes berasingan, Arifai memaklumkan seorang lelaki berusia 28 tahun disyaki pengedar dadah diberkas di sebuah rumah di Jalan Gombak Batu 6 di sini pada Selasa lalu.

Arifai berkata, pihaknya merampas 1,000 biji pil disyaki dadah erimin 5, 4,000 biji pil disyaki dadah jenis pil YABA dan 17 paket plastik disyaki Syabu.

"Anggaran keseluruhan nilai rampasan dadah berjumlah RM95,500," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan ujian saringan awal ke atas suspek didapati positif dadah methamphetamine serta amphetamine.

"Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu sehingga Selasa ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.