Kerajaan perlu kreatif cari sumber ekonomi baharu

Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan
Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Ekonomi negara mungkin sukar untuk distabilkan kembali dalam tempoh terdekat sekiranya kerajaan tidak kreatif untuk mencari sumber baharu.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, kerajaan tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada sumber sedia ada seperti minyak dan sawit yang kini mengalami kejatuhan harga di pasaran dunia.

“Sudah tiba masanya untuk kerajaan lebih kreatif mencari sumber-sumber ekonomi baharu yang boleh menjana pendapatan kepada negara.

“Ini kerana, rakyat khususnya yang berpendapatan rendah mengalami kesan teruk daripada ekonomi negara yang tidak menentu apabila tekanan kos sara hidup semakin meningkat,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya lagi, tindakan kerajaan membuat pengurangan kos bagi beberapa operasi juga dilihat belum memadai untuk membantu mengurangkan beban rakyat.

“Rakyat sudah tidak mahu mendengar tentang hutang-hutang yang terpaksa ditanggung kerajaan atau sebagainya, tetapi mereka mahu masalah tekanan kos sara hidup ini diselesaikan segera.

“Saya boleh katakan bahawa bagi mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah tidak lagi mempunyai lebihan wang untuk menyimpan selepas membeli barangan keperluan dan membayar sewa serta hutang-hutang lain,” katanya.

Kos sara hidup yang semakin membebabkan kini merupakan antara kegelisahan utama yang dihadapi rakyat selepas kerajaan PH mengambil alih pentadbiran negara Mei tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Keadaan yang semakin mendesak khususnya bagi rakyat berpendapatan kecil pastinya mengembalikan ingatan mereka terhadap janji-janji kerajaan baharu pada PRU14 lalu, antaranya meringankan beban rakyat dalam masa 100 hari pertama pentadbiran PH.

Namun, sehingga ke hari ini belum ada sebarang usaha konsisten dilakukan kerajaan untuk menunaikan janji-janji mereka kepada rakyat.