Yang Dipertua NGO berlagak polis didakwa esok

Antara barang kes yang dirampas dengan penahanan Yang Dipertua NGO berkenaan di Kajang baru-baru ini.
Antara barang kes yang dirampas dengan penahanan Yang Dipertua NGO berkenaan di Kajang baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua ahli pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Yang Dipertuanya akan dituduh di mahkamah pada Jumaat susulan kes memakai pakaian seragam menyerupai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, seramai tiga individu telah ditahan berkenaan kes terbabit.

"Penahanan itu dibuat ekoran tular di media sosial TikTok dan Facebook memaparkan seorang lelaki yang berpakaian seragam menyerupai pegawai polis sedang menjalankan rondaan rumah ke rumah.

"Hasil maklumat yang diperoleh, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menahan individu itu pada jam 11 malam, 29 Januari di Kajang.

"Siasatan mendapati rondaan itu dilakukan individu itu tanpa seliaan polis selain mengenakan vase polis tertera tulisan pertubuhan itu selain kereta dengan lampu 'beacon'," katanya pada sidang akhbar menerusi Google Meet pada Khamis.

Fadzil berkata, susulan itu, dua lagi lelaki turut ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan mendapati pertubuhan itu adalah berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan pertubuhan itu mengenakan bayaran kepada setiap ahli selain menawarkan pangkat 'VIP' tertentu.

Katanya, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 3 Februari lalu dan arahan pertuduhan telah diperoleh ke atas dua tangkapan di bawah Seksyen 89(c) Akta Polis dan Seksyen 90 Akta sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi pertuduhan kedua adalah di bawah Seksyen 5 Akta Lambang Dan Nama 1963 (Penalti).

"Pertuduhan akan dilakukan di Mahkamah Kajang pada 5 Februari (Jumaat), manakala seorang tangkapan telah dijadikan sebagai saksi pendakwaan," katanya.

Justeru, JSJ Selangor menasihatkan masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya memiliki, membeli, membekal atau menggunakan apa-apa peralatan atau pakaian pihak penguat kuasa tanpa kebenaran yang sah.

"Mana-mana pertubuhan bukan kerajaan yang ingin mengadakan sebarang aktiviti pencegahan serta rondaan dan apa-apa yang berkaitan dengan tindakan pihak penguatkuasa yang dilantik secara sah, seharusnya mendapatkan nasihat terlebih dahulu daripada pihak polis bagi melaksanakan program yang dirancang," katanya.