PKP: Terengganu peruntuk RM19 juta bantu rakyat terjejas

Dr Ahmad Samsuri
Dr Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu pada Khamis mengumumkan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) 2021 sebanyak RM19 juta bagi membantu rakyat negeri ini yang terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Antara insentif Berkat 2021 itu adalah sumbangan sebanyak 1,600 tablet kepada pelajar miskin bagi memudahkan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang akan disalurkan melalui anak syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak 20 Pusat Internet Akses Rakyat (Pintar) akan dibuka supaya PdPR dapat diadakan secara lebih berkesan dan keutamaan diberikan kepada pelajar miskin.

“Bantuan ‘top up’ internet sebanyak RM100 kepada pelajar daripada keluarga yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 juga akan diberikan. Jumlahnya berdasarkan kepada penerima bantuan persekolahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Dr Ahmad Samsuri, kerajaan turut memberi insentif tunai RM100 kepada pemain sektor yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP 2.0 seperti tukang gunting dan pekerja kedai cuci kereta dan ia dijangka melibatkan 48,000 penerima.

Beliau berkata, seramai 81,000 golongan asnaf pula bakal menerima ‘bakul makanan’ dan kumpulan itu terdiri daripada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Katanya, kerajaan juga akan memberi insentif kuliah online kepada pendakwah yang terjejas dan tiada pendapatan tetap sepanjang PKP 2.0 selain insentif khas sebanyak RM300 buat penggiat pelancongan negeri ini.

“Bagi individu yang turut terkesan dan terjejas tapi tidak termasuk dalam senarai insentif ini, mereka boleh hubungi Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi memohon bantuan sesuai,” katanya.

Artikel Berkaitan: