Nombor pendaftaran DDY catat bidaan RM2.28 juta

Iklan bidaan nombor pendaftaran DDY yang dikeluarkan oleh JPJ Kelantan baru-baru ini.
Iklan bidaan nombor pendaftaran DDY yang dikeluarkan oleh JPJ Kelantan baru-baru ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekodkan kutipan hasil bidaan mencecah RM2.28 juta melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) melibatkan nombor siri pendaftaran kenderaan DDY.

Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, bidaan yang dibuka selama lima hari bermula pada 29 Januari lepas itu melangkaui jangkaan sasaran awal iaitu RM1.9 juta.

Beliau berkata, sehubungan itu, bidaan siri nombor pendaftaran DDY mencatatkan kutipan tertinggi sejak JPJeBID diperkenalkan untuk negeri Kelantan.

“Jumlah harga bidaan tertinggi bagi siri DDY melibatkan nombor pendaftaran DDY 1 yang bernilai RM155,500 diikuti DDY 9 (RM64,700), DDY 8 (RM55,800), DDY 7 (RM55,452), DDY 6 (RM48,010), DDY 3 (RM46,100), DDY 2 (RM45,021), DDY 5 (RM44,000), DDY 33 (RM34,888) dan DDY 11 (RM31,200).

“Siri ini melibatkan seramai 2,937 pembida dengan hanya 1,398 pembida yang berjaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Hanif Yusabra berkata, nombor pendaftaran yang berjaya dibida perlu didaftarkan untuk sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh surat tawaran dikeluarkan di pejabat JPJ negeri atau cawangan.

Katanya, baki nombor pendaftaran yang tidak dibida bagi siri kali ini iaitu sebanyak 8,601 nombor akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minimum.

“Harga bidaan akan mengikut kategori yang telah ditetapkan iaitu kategori nombor bernilai utama dengan nilai RM20,000, nombor menarik iaitu dua digit (RM3,000), nombor menarik tiga digit (RM2,500), nombor menarik empat digit (RM2,000), nombor popular RM500 dan nombor semasa bernilai RM300,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, setakat ini JPJ Kelantan telah merekodkan kutipan hasil bidaan sebanyak RM16,019,573 sepanjang tempoh pelaksanaan sistem JPJeBID yang diperkenalkan bermula dengan siri DDP hingga DDY. - Bernama