Durakovic tetap tenang

BOLASEPAK LIGA SUPER
A
A

PENGENDALI Perak, Mehmet Durakovic tidak bimbang walaupun pasukan bimbingannya masih buntu memburu kemenangan sulung selepas sekadar terikat 1-1 dengan Kedah dalam aksi kedua Liga Super Malaysia di Stadium Perak, malam kelmarin.

Beliau berkata saingan liga baru sahaja bermula selain pasukan yang ditentang Perak seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah sebelum ini merupakan antara pasukan pilihan dalam memburu kejuaraan.

"Masa masih panjang dan banyak lagi perlawanan yang perlu kita harungi untuk kempen liga musim ini, jadi saya rasa tidak ada perkara perlu dibimbangkan.

"Kalau lihat aksi sebelum ini, kita kalah kepada Johor Darul Ta'zim yang diketahui dibarisi pemain tempatan dan import berkualiti. Begitu juga Kedah, yang dianggap antara pasukan pilihan memburu kejuaraan," katanya pada sidang media di Stadium Perak di sini.

Dalam aksi dihadapan lebih 20,000 penonton, skuad The Bos Gaurus berjaya mencetak jaringan pada minit ke-18, hasil rembatan Brendan Gan daripada luar kotak penalti yang berjaya memerangkap penjaga gawang Kedah, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim.

Namun kegembiraan tersebut tidak kekal lama apabila pertahanan import Kedah, Renan Da Silva berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-20 hasil rembatan daripada situasi kelam kabut dihadapan gawang gol Perak.

Mengulas mengenai persembahan keseluruhan anak buahnya, Durakovic berkata Perak berhak memenangi perlawanan berkenaan, namun kegagalan barisan serangan menyempurnakan beberapa peluang terhidang menidakkan hasrat tersebut.

"Apa pun saya berbangga dengan aksi dan komitmen yang ditampilkan oleh setiap pemain dalam perlawanan ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata beliau berpuas hati dengan semangat juang yang ditampilkan anak buahnya meskipun gagal untuk meneruskan momentum kemenangan di tempat lawan.

Beliau berkata ini kerana Perak merupakan lawan yang sukar selain merupakan juara Piala Malaysia bagi musim lalu.

"Bagi saya, ini satu keputusan yang baik dicatatkan para pemain walaupun sekadar membawa pulang satu mata. Pujian juga harus diberikan kepada pemain kerana berjaya mengekang asakan daripada barisan serangan pasukan Perak," katanya.

Mengulas aksi menentang Felda United pada 16 Februari ini, Aidil berkata, beliau akan memperbaiki beberapa kelemahan yang terdapat dalam pasukan selain fokus untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan tersebut. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia