X

Kindly register in order to view this article
!

JPJ tahan tujuh warga Myanmar bawa motosikal roda tiga

JPJ menahan tujuh warga Myanmar kerana menunggang tanpa lesen selain kenderaan diubah suai dalam Ops Roda Tiga di beberapa jalan sekitar Johor Bahru pada Khamis.
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor menahan tujuh warganegara Myanmar kerana menunggang motosikial beroda tiga dalam operasi dilakukan di sekitar daerah ini pada Khamis.

JPJ Johor dalam satu kenyataan dimuat naik menerusi Facebook rasminya memaklumkan operasi itu dikendalikan Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Johor, Mohamad Firdaus Mohamad Ibrahim yang dilaksanakan pada jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.

"Ops Roda Tiga ini melibatkan 15 anggota dan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JPJ Johor terdiri daripada Seksyen Operasi, Unit Operasi dan Unit Siasatan dan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) JPJ Johor.

"Tujuannya bagi mengesan kesalahan pemandu dan kenderaan yang tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan. Hasil pemeriksaan tujuh motosikal atas nama pemilik ditahan dan disita di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Ini kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 (2) APJ 1987 iaitu kenderaan persendirian dijadikan kenderaan barang dan membenarkan tujuh etnik Rohingya menunggang kenderaan tanpa lesen memandu yang sah," jelas kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, pemandu dan kenderaan juga diambil tindakan di bawah APJ 1987 dan Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan serta Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 atas pelbagai kesalahan lain.

Katanya, tindakan penguatkuasaan dijalankan secara berfokus serta berterusan bagi memastikan peraturan jalan raya dipatuhi dan juga meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Sementara itu, JPJ Johor turut mengadakan satu operasi khas muatan tinggi dan bahaya terhadap kenderaan perdagangan dalam kawasan Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Abu Bakar (BSAB) di Iskandar Puteri pada Khamis.

"Sasaran utama operasi untuk mengambil tindakan terhadap kenderaan perdagangan membawa muatan tinggi dan bahaya melalui CIQ BSAB menghala ke Singapura serta kesalahan teknikal yang lain.

"Tujuanya untuk memastikan keselamatan lalu lintas serta keselamatan bangunan dan pusat pemeriksaan dalam CIQ BSAB terjamin," katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, 25 notis dikeluarkan dalam operasi tersebut dan diambil tindakan di bawah APJ 1987 serta Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan atas kesalahan membawa muatan melebihi had yang dibenarkan.

"Ini termasuk lesen tamat tempoh, tiada perlindungan insuran, ubah suai serta kesalahan yang lain.

"Aktiviti penguatkuasaan di sempadan negara terutamanya di CIQ BSAB akan diteruskan bagi memastikan pihak berkenaan mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!