Warga emas diragut, duit RM4,000 untuk cucu lesap

Tangkap layar suspek meragut beg tangan wanita warga emas hingga menyebabkan kerugian RM4,000. Foto: pembaca
Tangkap layar suspek meragut beg tangan wanita warga emas hingga menyebabkan kerugian RM4,000. Foto: pembaca
A
A
A

IPOH - Seorang wanita warga emas kerugian RM4,000 apabila beg tangannya diragut seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Serindit, Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi di sini pada Isnin lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 12.40 tengah hari itu, mangsa berusia 73 tahun sedang membonceng motosikal bersama suaminya untuk ke kedai berhampiran.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian itu kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati mereka berdua dihampiri seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 sebelum meragut beg tangan mangsa.

“Kejadian berlaku dengan pantas dan mangsa serta suaminya tidak dapat mengecam suspek yang memakai helmet bertutup penuh dan dianggarkan berusia antara 20 hingga 30 tahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurutnya, pihaknya percaya suspek akan mengintip pergerakan mangsa terlebih dahulu sebelum meragut beg tangannya.

"Menurut mangsa, duit berkenaan dikeluarkannya dari sebuah bank pada minggu lalu untuk dihadiahkan kepada dua cucunya yang baru dilahirkan.

"Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan peka dengan keselamatan harta khususnya selepas berurusan di bank," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, polis kini sedang giat mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Inspektor Muazzammar Mohd Noor di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-245 1500 atau tampil ke balai polis berhampiran.