Covid-19: MARA nafi tidak maklum keadaan pelajar MRSM Bentong

Pemantauan secara berterusan telah dilakukan oleh pihak Klinik Kesihatan Bentong dengan membuka klinik bergerak setiap hari di dalam maktab.
Pemantauan secara berterusan telah dilakukan oleh pihak Klinik Kesihatan Bentong dengan membuka klinik bergerak setiap hari di dalam maktab.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (MARA) menafikan dakwaan yang mengatakan ibu bapa tidak diberi makluman berhubung keadaan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong.

Bahagian Komunikasi Korporat MARA dalam satu kenyataannya turut menafikan ada mengeluarkan arahan supaya pelajar mendiamkan diri.

"Pihak maktab sentiasa memberikan maklumat terkini kepada ibu bapa dan seluruh kakitangan mengenai situasi sebenar yang terjadi.

"Ibu bapa dinasihatkan terus menghubungi pihak pengurusan MRSM Bentong jika timbul kebimbangan tentang situasi semasa anak-anak," katanya pada Khamis.

Sinar Harian melaporkan pada Rabu, seramai lima calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di MRSM Bentong positif Covid-19.

Difahamkan, selain lima pelajar berkenaan, tiga pekerja dewan makan institusi itu turut disahkan positif Covid-19.

Kerja-kerja pensanitasi telah dilakukan oleh pihak bomba di asrama, bilik kuliah dan sekitar maktab.
Kerja-kerja pensanitasi telah dilakukan oleh pihak bomba di asrama, bilik kuliah dan sekitar maktab.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, sejak dari awal kes jangkitan dikesan, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Bentong (PKD) telah terlibat secara langsung melaksanakan ujian saringan dan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama katanya, MRSM Bentong telah mengambil langkah segera yang sewajarnya dengan menubuhkan Jawatankuasa Bencana Covid-19 MRSM Bentong bagi menguruskan kes yang berlaku.

"Pemantauan secara berterusan dilakukan oleh pihak Klinik Kesihatan Bentong dengan membuka klinik bergerak setiap hari di dalam maktab.

"Manakala, pelajar yang didapati bergejala dan positif telah dibuat pengasingan dan ditempatkan di rumah warden yang telah dikhaskan serta tidak menggunakan kemudahan yang sama dengan pelajar lain.

"Kebajikan pelajar adalah fokus utama maktab dalam menghadapi situasi ini dengan memastikan makanan sentiasa mencukupi dan pelajar ini turut dibekalkan makanan tambahan," jelas kenyataan itu.

Dalam menghadapi kes jangkitan Covid-19, katanya, pihak pengurusan MRSM sentiasa mengikuti SOP yang ditetapkan dengan dipantau oleh pihak berwajib dan SOP ini bukanlah ditentukan oleh pihak MARA.