Kerajaan kerjasama hospital swasta tangani sistem kesihatan negara

Kerajaan telah bekerjasama dengan hospital swasta bagi tangani sistem kesihatan negara. - Foto 123RF
Kerajaan telah bekerjasama dengan hospital swasta bagi tangani sistem kesihatan negara. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah bekerjasama dengan 31 hospital swasta untuk penyumberluaran rawatan sebahagian daripada pesakit bukan Covid-19 bagi memastikan sistem kesihatan negara tidak lumpuh.

Ia berikutan sistem kesihatan di negara kini hampir mencapai 'breaking point' apabila hospital-hospital Covid-19 termasuk wad-wad Unit Rawatan Rapi (ICU) telah hampir mencapai kapasiti 100 peratus.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk tujuan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan sejumlah RM27 juta pada tahun ini.

"Bagi pengurusan dan rawatan pesakit Covid-19 di hospital swasta, KKM telah mendapat kerjasama yang baik daripada hospital swasta di seluruh negara.

"Setakat 3 Februari 2021, pihak hospital swasta bercadang menyediakan 1,344 katil di wad biasa dan 65 katil di wad ICU," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas mengenai pelaksanaan darurat dan pemasyhuran Ordinan Darurat dalam mengurus pandemik Covid-19 yang disiarkan di saluran televisyen dan media sosial rasmi kerajaan pada Khamis.

Muhyiddin berkata, kemudahan makmal kerajaan dan swasta juga sedang digembleng untuk meningkatkan kapasiti pelaksanaan ujian saringan Covid-19.

Katanya, pada masa ini sebanyak 68 makmal kerajaan dan swasta di negara ini mempunyai kapasiti untuk melaksanakan 76,805 ujian saringan setiap hari.

Artikel Berkaitan:

"Melalui Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 ini juga, kerajaan akan mula mengambil alih kemudahan-kemudahan bagi tujuan menambah pusat saringan Covid-19 dan pusat kuarantin.

"Bagi aktiviti penyumberluaran dan pengambil alihan ini, suatu bentuk pampasan akan diberikan kepada pemilik premis berdasarkan naziran penilaian oleh pihak kerajaan," katanya.